Isu Panas

Kayveas Letak Jawatan Berkuat Kuasa Isnin

KUALA LUMPUR: Tan Sri M Kayveas hari ini mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (myPPP), Pengerusi myPPP Wilayah Persekutuan dan penasihat myPPP Perak.

Beliau membuat pengumuman tersebut melalui beberapa laman media sosial miliknya, menyatakan peletakan jawatan itu berkuatkuasa 23 April, 2018.

Tindakan tersebut diambil Kayveas menjelang pengumuman calon Barisan Nasional (BN) Pahang yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini lapor Astro Awani.

Pengerusi Badan Perhubungan BN Negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata pada Ahad, BN Pahang dijangka mengekalkan barisan calon boleh menang yang pernah bertanding pada PRU lalu.

Jawatankuasa Kerja Pusat MyPPP berkata, satu sidang media tergempar akan diadakan hari ini berhubung peletakan jawatan Kayveas.

Kayveas sebelum ini terlibat dalam perebutan kerusi Parlimen Cameron Highlands yang menurutnya harus dipulangkan semula kepada MyPPP.

Katanya, beliau sudah menanti selama 17 tahun untuk berkhidmat di kawasan itu yang terletak di negeri kelahirannya, Pahang.

Menurutnya, pada tahun 2000, Presiden UMNO ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, pernah berjanji untuk memberikan kerusi Parlimen itu kepadanya.

Bagaimanapun, Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam menegaskan, kerusi Parlimen Cameron Highlands akan kekal milik MIC.

Pada PRU13, MIC bertanding kerusi Cameron Highlands, diwakili Datuk Seri G Palanivel, bekas Presiden MIC, yang kemudiannya mengumumkan keluar BN dan menjadi calon Bebas.

Pada pilihan raya tahun 2013 itu, MyPPP bertanding di Parlimen Kepong, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, DUN Kota Alam Shah, DUN Pasir Bedamar dan DUN Manik Urai.

Bagaimanapun, MyPPP tewas di semua lima kerusi berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");