IPOH: Kerajaan Negeri Perak menerusi agensi-agensinya tidak pernah meminggirkan mana-mana golongan muda yang mahu membina masa hadapan lebih cerah, termasuk segelintir yang lemah dalam bidang akademik.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sebagaimana falsafah ‘Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir’, kerajaan negeri sentiasa menyediakan ruang buat mereka yang ingin berjaya dalam bidang-bidang yang berunsurkan kemahiran.
Jelasnya, dalam usaha memperkasakan sektor kemahiran pertanian dalam negeri, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) adalah antara agensi yang terlibat bagi mencari anak-anak muda di seluruh negeri bagi menyertai program-program yang disediakan.
“Segelintir daripada anak-anak muda yang kurang berjaya dalam bidang akademik ini mungkin atas beberapa faktor lain antaranya mungkin latar belakang keluarga, persekitaran dan peluang.
“Kita, tidak pernah meminggirkan mereka kerana kita percaya dalam diri mereka ini jika dibentuk dengan baik, mereka boleh berjaya di masa hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penganugerahan Sijil Pengurusan dan Operasi Ladang (SPOL) Kohort 3 dan Integrated Certificate Plantation Management (iCPIM) Kohort 4 kepada 66 orang pelatih di Wisma Wan Mohamed, dekat sini, pada Khamis.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PPPNP, Datuk Ahmad Rizal Abdul Rahmad serta Pengarah Eksekutif International Institute of Plantation Management, Halid Hasbullah Boestamam.
Pada masa sama, Zambry berkata inisiatif tersebut yang menelan belanja sekitar RM5 juta itu jelas menunjukkan keseriusan kerajaan negeri dalam memberi perhatian kepada pembangunan anak-anak muda di Perak.
Katanya, program yang dijalankan PPPNP itu kini sudah memasuki kohort yang kelima.
Selain itu, beliau turut berkata segala usaha kerajaan negeri yang berjaya menyentuh nurani rakyat di seluruh negeri walau bagaiamanapun tidak disenangi khsusnya pihak pembangkang.
“Saya katakan, jangan dilayan mereka ini, biarkan sahaja, yang penting kita terus bekerja,” ujarnya.