Jenayah

Kongsi Isu Daging Babi Campur Daging Kambing: Jurutera, Bekas Pelajar Politeknik Didenda RM3,000

KUALA LUMPUR: Seorang jurutera mekanikal dan bekas pelajar politeknik masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu melalui Facebook, berhubung laporan kontena dipercayai berisi daging babi bercampur daging kambing yang dibawa masuk dari Sepanyol, tahun lalu.

Hakim Zaman Mohd. Noor turut memerintahkan Mohd. Asrul Alwin Mohd. Yusoff, 32, dan Ainin Syazwani Che Mat Noordin, 22, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu untuk menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, sebagaimana dilaporkan Utusan Online, kedua-dua orang kena saman (OKS) itu masing-masing didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook milik mereka iaitu ‘Rul Yusoff’ dan ‘Ann Syzwni’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, antara pukul 9.53 pagi dan 7.48 pagi, pada 20 dan 21 Julai 2017.

Kedua-dua pautan itu kemudian telah dibaca di restoran Starbucks AEON Alpha Angle, Bandar Baru Wangsa Maju di sini pada pukul 10 pagi, 1 Ogos 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Norhani Mohamad Adzhar manakala kedua-duanya tidak diwakili peguam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");