Berita Hari Ini

Kumpulan Pertama Militan Tentera Islam Tinggalkan Timur Ghouta

DAMSYIK: Sejumlah 1,146 anggota militan Tentera Islam dan keluarga masing-masing meninggalkan daerah Douma di timur Ghouta menuju Jarablus di bahagian utara, sekali gus menjadi kumpulan pertama pemberontak itu yang berpindah keluar dari kubu kuat mereka di pinggir bandar Damsyik, lapor agensi berita China Xinhua.

Xinhua memetik laporan Agensi Berita Arab Syria (SANA) yang menyebut beberapa bas membawa mereka meninggalkan Douma dan tiba di persimpangan Wafideen sebelum berlepas ke bandar Jarablus di wilayah Aleppo, berhampiran bahagian utara yang bersempadan dengan Turki.

Pemindahan keluar pemberontak terbabit serta keluarga mereka dari Douma berlaku sehari selepas satu persetujuan dicapai antara kumpulan militan itu dan tentera Syria, yang menyaksikan Rusia menjadi pengantara lapor Bernama.

Douma merupakan kawasan terakhir dikuasai pemberontak di timur Ghouta yang menyaksikan pemindahan keluar kumpulan itu.

Mengikut persetujuan itu, tentera militan akan menyerahkan senjata api berat serta sederhana mereka dan satu kumpulan kerja akan dibentuk bagi memantau pembebasan tentera serta orang awam yang telah diculik.

Polis tentera Rusia dijangka memasuki Douma untuk “memberi jaminan” kepada orang awam, kata Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.

Tentera Islam merupakan kumpulan militan terakhir yang meninggalkan timur Ghouta selepas sejumlah 43,000 pemberontak dan keluarga mereka keluar dari kawasan konflik itu sejak minggu lepas.

Pada akhir Februari, tentera Syria melancarkan satu serangan besar-besaran ke atas pemberontak di timur Ghouta dan memindahkan kira-kira 150,000 orang awam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");