Jenayah

Lari Dari Hospital, Pesakit Dikhuatiri Lemas

KUALA TERENGGANU – Seorang pesakit dihantar bagi mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, lelaki berusia 32 tahun dari Kampung Gong Gemia, disini, dikatakan melarikan diri dari hospital sebelum terjatuh ke dalam laut.

Saksi kejadian, Syed Shamsuddin Tuan Azam berkata, semasa berada di unit kecemasan, dia ada terdengar jeritan seorang wanita sebelum ternampak seorang lelaki yang keluar melarikan diri dari unit kecemasan.

“Masa tu saya ada dengar isteri dia menjerit sambil berlari sebelum saya pun turut mengejarnya sekali.

“Mangsa ketika itu sudah membuang pakaiannya dan berlari dalam keadaan berbogel ke arah pantai dan terus menuju dalam laut.

“Kejadian berlaku begitu pantas, saya memang tidak sempat menghalang tindakan mangsa dan hanya mampu melihat sahaja sebelum menghubungi kecemasan bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini memetik sumber Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.38 malam tadi sebelum tiba di lokasi pada 9.51 malam.

Dua jentera bomba termasuk unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) membabitkan 13 anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Bomba sedang mengadakan ‘water surface searching’ dianggaran 50 meter radius selain membuat tinjauan persisir pantai bersama peniaga pantai.

“Kami berdepan sedikit kesukaran kerana faktor cahaya memandangkan lokasi kejadian agak gelap selain keadaan ombak yang kuat ketika ini,” katanya.

Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat diteruskan hari ini melibatkan pencarian di sekitar muara dengan kawasan pencarian yang lebih luas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");