Berita Hari Ini

Lebih Wakil Dalam Pentadbiran Jika Menang Banyak – Dr Subramaniam

KUALA LUMPUR: MIC berharap memenangi lebih banyak kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi membolehkan lebih ramai wakil parti itu dipertimbangkan ke jawatan Kabinet.

Presidennya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata ketika ini, hanya ada seorang menteri dan tiga timbalan menteri daripada MIC dalam pentadbiran.

“Keputusan untuk meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertimbangkan penambahan wakil MIC dalam Kabinet itu bagaimanapun bergantung kepada sebanyak mana kerusi yang kita (MIC) menangi pada PRU-14 nanti.

“Jika MIC berjaya memenangi lebih banyak kerusi pada PRU-14, kita berharap lebih ramai menteri dan timbalan menteri (daripada wakil MIC) akan dipilih,” katanya ketika ditemui selepas program Bicara Jom Undi di Balai Berita NSTP, sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Pada PRU-14, MIC akan bertanding di 18 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sembilan kerusi Parlimen termasuk Cameron Highlands.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata semua calon MIC itu adalah campuran muka lama dan baru serta menepati kriteria “boleh menang’ yang diperlukan.

Dr Subramaniam akan mempertahankan kerusi Parlimen Segamat sementara Tapah yang juga kubu kuat Barisan Nasional (BN) meletakkan kembali Datuk Seri M Saravanan manakala Sungai Siput bakal ditandingi Timbalan Presiden, Datuk Seri SK Devamany.

Datuk P Kamalanathan yang pernah menang dua kali berturut-turut di Hulu Selangor sekali lagi di pertaruhkan di kawasan bagi kemenangan besar MIC.

Antara muka baharu ditampilkan kali ini adalah Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy yang akan bertanding di kerusi Kapar manakala bekas Setiausaha Agung MIC, Prakash Rao diletakkan di Parlimen Sungai Buloh.

Kerusi ‘panas’ Cameron Highlands yang selama ini menjadi pertelingkahan antara MIC dan Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) bakal diwakili Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Datuk Sivarraajh Chandran.

Selain itu, Ahli Majlis Kepimpinan Pusat CWC, V Gunalan akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Raja manakala Ketua Penerangan MIC, Datuk VS Mogan di kerusi Parlimen Port Dickson.

Sementara itu, bercakap di ibu pejabat MIC di sini Dr Subramaniam berkata kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong, Perak akan ditandingi oleh Ketua Wanita MIC Perak merangkap Timbalan Ketua Wanita MIC Kebangsaan, T Thangarani.

Kerusi itu menimbulkan kontroversi apabila MyPPP juga menuntutnya.

Ini sekali gus mengakhiri kontroversi dua kerusi di Perak masing-masing Parlimen Cameron Highlands dan DUN Buntong yang menjadi perebutan antara MIC dan Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas.

Subramaniam pada sidang media selepas itu berkata, hubungan MIC dan MyPPP tidak akan terjejas disebalik keputusan pemberian dua kerusi itu kepada MIC yang diputuskan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak.

“Kedua-dua kami adalah parti yang bekerja dengan BN jadi ia tidak sepatutnya menjadi masalah.

“Kami (MIC dan MyPPP) tidak berunding (untuk dapatkan kerusi) tetapi ia diputuskan Pengerusi BN dan ia harus diterima dengan hati yang terbuka komponen parti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");