Isu Panas

Mahkamah Tinggi Gantung Pembubaran Sementara PPBM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, hari ini menggantung keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang membubarkan sementara pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan PPBM mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar keputusan ROS pada 5 April lalu.

Azizah dalam penghakimannya berkata, jika permohonan PPBM untuk menggantung keputusan ROS tidak dibenarkan, ia boleh menyebabkan kerosakan yang tidak boleh diperbaiki kepada PPBM dalam usahanya untuk memberikan pilihan alternatif kepada pengundi.

Sehubungan itu, katanya, beliau berpandangan bahawa keputusan ROS itu mesti digantung sehingga permohonan utama semakan kehakiman berkenaan didengar dan diputuskan.

Hakim berkata, selepas menimbangkan fakta dan hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati terdapat dakwaan fakta yang memerlukan penjelasan daripada ROS.

Beliau berkata, sehinggalah ROS memfailkan afidavit untuk memberikan penjelasan berhubung keputusannya dalam permohonan semakan kehakiman itu, mahkamah berpandangan bahawa terdapat kes yang boleh dipertikaikan.

Sehubungan itu, katanya, mahkamah mendapati terdapat merit dalam kes itu bagi membolehkan kebenaran untuk semakan kehakiman diberikan.

“Selepas meneliti fakta yang dikemukakan di mahkamah, saya berpandangan bahawa terdapat keadaan istimewa yang membolehkan kebenaran diberikan,” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Mahkamah turut menolak bantahan awal ROS terhadap permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu yang difailkan PPBM pada 13 April lalu.

Hakim Azizah membuat keputusan itu dalam kamar beliau yang turut dihadiri peguam Rosli Dahlan mewakili PPBM dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan untuk ROS.

Dalam permohonan kebenaran itu, Setiausaha Agung PPBM, Shahruddin Md Salleh, yang bertindak selaku pemohon, menamakan Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim selaku responden.

PPBM memohon perintah untuk membatalkan keputusan ROS dalam menyalahgunakan Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 apabila memutuskan bahawa PPBM tidak menghantar

maklumat melalui notis mengikut Seksyen 14(2) akta sama.

Parti itu juga memohon perintah melarang Surayati daripada mengambil tindakan secara salah dengan menyalahgunakan peruntukan di bawah akta itu untuk menyekat PPBM daripada kekal wujud sebagai sebuah parti politik yang sah dan dihalang daripada bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ia juga memohon perisytiharan bahawa PPBM mematuhi notis dengan mengemukakan dokumen dan maklumat yang diperlukan kepada responden.

Pengurusan kes bagi permohonan semakan kehakiman itu ditetapkan pada 7 Mei ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");