Berita Hari Ini

Malaysia Sah ke Sukan Olimpik Remaja 2018

KUALA LUMPUR: Skuad lelaki bawah 18 tahun negara mencipta sejarah apabila layak untuk beraksi di Sukan Olimpik Remaja 2018 buat kali pertama selepas mengesahkan tempat di perlawanan akhir dengan menewaskan Korea Selatan di separuh akhir semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Queen Sirikit itu,  Malaysia menewaskan Korea Selatan menerusi penentuan shoot-out 5-4 selepas kedua-dua pasukan seri 4-4 tamat masa permainan sebenar.

Penjaga gol negara, Muhammad Hamiz Mohd Ahir muncul wira apabila menyelamatkan pukulan shoot-out terakhir daripada Korea Selatan

Malaysia bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal Korea Selatan minit ke-2 menerusi  Bae Soung tetapi ia tidak bertahan lama selepas Akhimullah bangkit menyamakan kedudukan minit ke-4.

Korea Selatan kembali berada di depan menerusi Chun Semin pada minit ke-5 dan tersentak dengan jaringan itu beberapa saat kemudian Muhammad Noor Firdaus Rosdi kembali mengikat kedudukan menerusi satu jaringan cantik daripada jarak jauh.

Tiga minit sebelum suku pertama berakhir, Akhimullah meledak jaringan keduanya untuk meletakkan Malaysia di depan.

Korea Selatan bagaimanapun kembali menyamakan kedudukan menerusi Lee Seyong untuk kedudukan semasa 3-3.

Memasuki suku terakhir, kapten negara Amirul Azahar kembali meletakkan skuad negara di depan pada minit ke-22 namun empat minit kemudian Korea Selatan kembali mengejar menerusi jaringan Jang Pilhyeok untuk kedudukan berubah 4-4 sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan shoot-out.

Pengendali skuad lelaki negara, Wallace Tan memuji sikap tidak menyerah kalah dan berjuang sehingga ke penghujung perlawanan untuk meraih kejayaan yang mereka kecapi hari ini selain mahu pemain-pemain kembali mengalihkan fokus kepada satu lagi misi penting iaitu pertemuan akhir dengan India, petang ini.

“Setiap pemain sudah memberikan segalanya walaupun perlawanan terpaksa di heret ke penentuan shoot-out tetapi mereka masih berjuang sehingga ke shoot-out yang terakhir.

“Mereka wajar menerima pujian dan ucapan tahniah perlu diberikan kepada pemain yang berjuang berhabis-habisan.

“Kami gembira dengan kejayaan untuk beraksi di Sukan Olimpik Remaja, tetapi kami mempunyai satu lagi perlawanan untuk bertemu India esok (petang ini) dan tumpuan sepenuhnya akan diberikan kepada pertemuan itu,” jelasnya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");