Barisan Nasional (BN) Perak menggariskan 7 Tekad yang bertemakan ‘Demi Kemakmuran dan Kemajuan’ dalam Manifesto parti itu sempena Pilihanraya Umum ke 14.
Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika melancarkan Manifesto berkenaan menyatakan bahawa kepimpinan BN Perak mempunyai ‘track record’ yang baik sepanjang memimpin negeri itu.
Malah jelas Zambry, tanpa mengira segala penghinaan dan tomahan dari pembangkang BN Perak akan terus berkhidmat untuk rakyat.
“Kita bukan menjadi pemimpin yang kerjanya hanya berpolitik dan menghina pihak lawan. Itu semua buang masa.
“Kita dipilih oleh rakyat dah bekerja untuk rakyat. Biarlah DAP nak cakap apa. Mereka hina kita tetapi kita akan tetap terus bekerja demi rakyat,” katanya.
Terdahulu, 7 Tekad dalam Manifesto BN Perak merangkumi 7 Kelompok rakyat Perak secara keseluruhan.
Tekad Pertama: Mengukuhkan Ekonomi Negeri Dan Meningkatkan Pelaburan.
Tekad Kedua: Meringankan Kos Sara Hidup Dan Mewujudkan Peluang Pekerjaan.
Tekad Ketiga: Perumahan.
Tekad Keempat: Mengupayakan Modal Insan Dengan Menjamin Peluang Pendidikan
Tekad Kelima: Menjamin Kesejahteraan, Keselamatan Dan Keamanan.
Tekad Keenam: Kelestarian Dan Pembangunan Mapan.
Tekad Ketujuh: Perak Sebagai Destinasi Antarabangsa.
Menerusi kesemua tekad berkenaan BN Perak akan memberi penekanan kepada golongan Wanita, Anak Muda, Orang Kita (Masyarakat Orang Asli), Orang Kelainan Upaya (OKU), Orang Kampung, Orang Taman serta Warga Emas.
Antara yang menarik adalah, BN Perak menjanjikan tiada kenaikan tarif air di negeri itu dalam tempoh 5 tahun sekiranya terus diberi mandat.
Selain itu, BN Perak juga tidak akan mengenepikan masyarakat Orang Asli dimana pelbagai bentuk program kecemerlangan murid serta tabung khas pengupayaan Orang Asli disediakan.
BN Perak juga akan terus komited untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan di kawasan perumahan meliputi tempat-tempat riadah, taman permainan kanak-kanak, kerja-kerja penurapan jalan dan pembersihan longkang.
Bagi masyarakat luar bandar, BN Perak akan mengecualikan kenaikan Cukai Tanah sekiranya terus diberi mandat untuk mentadbir negeri itu.