Perak Hari Ini

Manifesto PH Perak, Satu Retorik-PAS

IPOH:Tindakan Pakatan Harapan Perak (PH) yang tampil mewar-warkan mengenai teras manifesto iaitu amanah dan integriti disifatkan sekadar satu retorik semata-mata.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata berdasarkan satu kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan melibatkan ahli politik termasuk juga pemimpin Pakatan Harapan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka sebanyak 71 kertas siasatan terhadap ahli politik BN manakala 21 terhadap pimpinan Pakatan Harapan (Harapan) sepanjang 2013 hingga 2017.

“Manakala Pas tiada kertas siasatan dibuka dalam memerintah yang begitu lama, jadi dari situ kita dapat lihat apabila mereka menghebahkan mengenai integriti hanya satu retorik sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya rakyat berhak menilai sendiri ciri kepimpinan barisan pemimpin kelak malah laporan SPRM itu telah mengambarkan kredibiliti dan integriti mereka.

“Tidak lebih daripada retorik semata-mata kerana laporan SPRM telah menggambarkan siapa mereka,” katanya menjawab ringkas mengenai manifesto tersebut.

Lima teras utama dalam manifesto PH yang dilancarkan semalam adalah kebajikan dan ekonomi rakyat, amanah dan integriti, keadilan sosial dan demokrasi, budaya ilmu dan penyelidikan serta alam sekitar dan komuniti.

Antara yang mencuri tumpuan adalah teras amanah dan integriti iaitu berkaitan pengisytiharaan harta oleh Menteri Besar dan anggota exco kerajaan,jawatan Menteri dihadkan kepada dua penggal serta sijil audit untuk semua badan kerajaan termasuk Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) wajib dibentangkan dalam dewan Undangan Negeri (DUN).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");