Berita Hari Ini

MB, KM Mohon Perkenan Sultan Masing-masing Bubar DUN

Beberapa menteri besar mengesahkan mereka akan mengadap ketua negeri masing-masing bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia selepas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa parlimen akan dibubarkan esok.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau akan mengadap Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tarikh yang diperkenankan baginda, untuk mendapat perkenan baginda untuk membubarkan DUN.

“(Ini) selaras dengan Perkara LV Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dibaca bersama dengan Perkara LXX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilaporkan akan membubarkan DUN negeri serentak dengan Parlimen, iaitu esok.

“Kita mesti (bubar DUN) serentak ikut Parlimen. Saya akan pergi menghadap Sultan Kelantan (Sultan Muhammad V) bagi meminta izin sekiranya (Parlimen) bubar hari ini,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Menurut laporan itu lagi, Ahmad akan bertolak ke Kuala Lumpur petang ini bagi menghadap Sultan Muhammad V yang juga Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, akan mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Hinggap di sini, untuk memohon perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Mohamad dalam satu kenyataan, menjelaskan akan menghadap baginda jam 4.30 petang ini, sebelum mengadakan sidang media khas di Wisma Negeri.

Mohamad pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Negeri di Seremban, kelmarin, dilaporkan berkata akan segera menghadap Tuanku Muhriz selepas Parlimen dibubarkan.

Menteri Besar berkata, urusan pentadbiran Negeri Sembilan berjalan seperti biasa menerusi kerajaan sementara selepas DUN dibubarkan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pula dijangka dibubarkan minggu depan.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata mesyuarat EXCO perlu diadakan terlebih dulu sebelum menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, bagi memohon pembubaran.

“Kita akan ikut proses ditetapkan. Hanya itu saya boleh katakan setakat ini.

“Kita akan maklumkan semua EXCO bila mesyuarat perlu diadakan dan tarikh sesuai bagi saya menghadap Yang di-Pertua Negeri,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Parlimen akan dibubarkan esok bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");