Isu Panas

Menagih Janji-Janji DAP Di Pulau Pinang

PULAU PINANG: Bukan sesuatu yang mengejutkan melihat Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak senang duduk apabila penyebaran poster janji palsu mereka tersebar di negeri ini dua minggu lalu.

Apa yang tertera pada poster itu iaitu 51 janji palsu Kerajaan DAP Pulau Pinang sepanjang 10 tahun memerintah negeri ini adalah hakikat yang tidak boleh disangkal.

Ia merupakan bukti jelas bagaimana manifesto pembangkang khususnya DAP di negeri ini hanya sekadar untuk mengaburi mata rakyat tetapi tidak pernah bermaksud untuk melaksanakannya.

Bukti paling nyata dalam pembohongan janji pembangkang itu adalah komitmen untuk menyelesaikan segera bencana banjir kilat yang sering dialami penduduk khususnya di Georgetown sebelum 2008.

Masih terngiang-ngiang di telinga penduduk bagaimana pemimpin pembangkang ketika berkempen sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 dengan penuh yakin menyatakan kononnya mampu menyelesaikan masalah banjir itu dalam tempoh sembilan bulan jika berjaya mentadbir Pulau Pinang.

Malangnya sehingga ke hari ini, masalah banjir itu bukan sahaja gagal diselesaikan malah menjadi semakin buruk sehingga meragut nyawa penduduk.

Lebih mengecewakan penduduk apabila polisi baharu Kerajaan DAP Pulau Pinang turut menyebabkan masalah banjir kilat semakin buruk.

Antaranya adalah polisi yang membenarkan projek perumahan di lereng bukit selain kelulusan kepada puluhan projek komersial baharu yang memberi tekanan kepada sistem pengairan dan saliran sedia ada.

Namun di sebalik semua punca masalah yang tertuju kepada mereka, Kerajaan DAP Pulau Pinang sebaliknya mengambil langkah mudah dan selesan dengan menyalahkan Kerajaan Pusat kerana kononnya tidak memberi peruntukan untuk projek tebatan banjir.

Sebab itu seperti ditegaskan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, meskipun diberi tekanan kerana mengedar poster janji palsu Kerajaan DAP Pulau Pinang itu, pihaknya tidak takut atau berhenti daripada melakukannya.

Tambah beliau, pihaknya memikul tanggungjawab besar untuk menyedarkan penduduk berkenaan janji-janji palsu oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang itu kerana tidak mahu mereka terus tertipu.

Ujarnya, Gerakan juga mahu mengingatkan penduduk bagaimana keghairahan mereka menukar kerajaan tidak semestinya sesuatu yang tepat dan kegagalan DAP di negeri ini merupakan contoh dan pengajaran terbaik.

“Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak pernah komited untuk berkhidmat kepada rakyat dan segala manifesto mereka sebelum ini adalah janji palsu semata-mata untuk mendapatkan kuasa,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Bagi Chang Yeow yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Kerajaan DAP Pulau Pinang bukan hanya gagal melaksanakan janji membela rakyat, malah turut membebankan rakyat dengan pelbagai polisi baharu.

Antaranya, kata beliau, kenaikan surcaj dan tarif air sekurang-kurangnya empat kali dalam tempoh 10 tahun mentadbir kononnya kerana mahu mendidik penggunaan air dalam kalangan rakyat.

Sedangkan dalam tempoh 15 tahun BN memerintah negeri ini iaitu antara 1993-2008, tarif air tidak pernah dinaikkan sekali pun malah penduduk juga tidak dikenakan sebarang surcaj air.

Selain itu, janji palsu dari sudut pemilikan rumah juga sesuatu yang sangat mengecewakan penduduk apabila dalam tempoh 10 tahun lalu, kemampuan penduduk memiliki sendiri semakin berkurang dan mengecil.

Perkara itu disebabkan kebanyakan projek perumahan yang diluluskan Kerajaan DAP Pulau Pinang adalah bertaraf mewah dan elit malah rumah berharga RM400,000 turut dikategorikan sebagai rumah kos rendah.

– theRakyat

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");