Perak Hari Ini

Meru Raya, Ikonik Bandaraya Moden Lengkap Untuk Rakyat

MERU RAYA, merupakan sebuah lagi kawasan di Bandaraya Ipoh yang semakin menunjukkan kemegahan dan identiti bandar moden yang tersendiri.

Bandar ini merupakan Pusat Penempatan Utama di Ipoh yang dicorak menjadi Pusat Pentadbiran Komersil dan Pelancongan berasaskan ICT dan teknologi Tinggi.

Bermula daripada sebuah kawasan hutan belantara kepada tumpuan pembangunan, Meru Raya persis ‘Mini Putrajaya’ yang berkembang dan terus maju mencari identitinya sepanjang 10 tahun jangka masa projek pembangunan mercu tanda baharu di negeri Perak ini.

Pembinaan bermula dengan kewujudan Presint Kerajaan yang menempatkan pejabat-pejabat baharu kerajaan serta perumahan, Meru Raya kini meriah dengan pelbagai projek pembangunan yang tersusun merangkumi sektor industri, rekreasi hinggakan kepada pembinaaan Taman Tema Animasi pertama di Asia, Movie Animation Park Studios (MAPS).

Pembangunan telah bermula sejak tahun 1977 hingga 2012 menerusi pembangunan Taman Meru oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan syarikat dibawah kumpulanya sehingga meliputi pembangunan infrastruktur Bandar Meru Raya dan diikuti projek perumahan kos rendah dan mampu milik.

Kini sebut sahaja apa yang ingin anda cari seperti kedai makan, pasaraya untuk membeli-belah, pengangkutan awam, pusat agensi kerajaan semuanya tertumpu dan berkembang pesat di Meru Raya.

Pembangunan terancang yang sedang dilaksanakan di atas tanah seluas lebih 1,890 ekar, berhampiran persimpangan Lebuhraya PLUS/Ipoh-Lumut dan Jalan Jelapang Chemor ini telah berkembang pesat sejajar pelaksanaan pelan pembangunan Perak Aman Jaya cetusan idea oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Bandar Meru Raya juga bukan sahaja membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat malah menjadi indikator terbaik dalam pembangunan negeri Perak.

Meru Raya meliputi kawasan komersial dengan kemudahan infrastruktur yang sesuai dengan tarafnya sebagai bandar siber selain pembinaan pejabat-pejabat baharu kerajaan, rumah kedai, kawasan perumahan dan pasaraya yang rancak membangun.

Setakat ini terdapat enam kompleks agensi kerajaan telah siap dibina  dan beroperasi antaranya Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Perhutanan, Jabatan Audit Negara,Kompleks Pejabat SPRM, Balai Bomba dan Ibu Pejabat Bomba.

Setakat ini juga, lebih 1,000 unit perumahan mampu milik sehingga kondominium mewah telah dan akan terus dibina pastinya berjaya menarik tumpuan penduduk daripada kawasan Jelapang, Chemor,Klebang dan sebagainya mula mencari lokasi sesuai selesa di Meru Raya.

Antaranya pembangunan perumahan yang anda dapat saksikan seperti 1Meru, Mesu Desa Park, Casa Kayangan (pembangunan perumahan mampu milik), Taman Halaman Meru Suria@Meru dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)  serta kemudahan asas seperti Terminal Amanjaya,sekolah harian dan sekolah Antarabangsa.

Bulatan Amanjaya

Pastinya terdapat pelbagai tarikan utama disediakan bagi menarik kehadiran pelancong asing dan tempatan ke Negeri Perak termasuk di Meru Raya, usaha mewujudkan komponen perumahan dan kompleks perniagaan untuk meningkatkan pemilikan Bumiputera serta pembangunan Perak Hi-Tech Park sebagai sebahagian peluasan bandarayanya.

Uniknya Bandar Meru Raya ialah Bulatan Aman Jaya berpusat di ruang tengah bandaraya ini iaitu Bulatan terbesar di Malaysia menjadi identiti terkenal dan unik di Meru Raya, berhampiran dengan Hotel Casuarina dan Bangunan PKNP terdapat kemudahan rekreasi yang dibina ditengah-tengah bulatan jalan raya atau roundbout.

Landskap yang indah, padang hijau yang luas untuk pelbagai golongan berekreasi bersenam dan berjoging, terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak, kemudahan sukan skateboard dan pelbagai lagi.

Lihat sahaja kepada keluasannya bulatan ini juga tambah meriah terutama pada waktu malam apabila orang ramai melakukan aktiviti riadah bersama keluarga seperti hadir berkayuh basikal atau menaiki alat mainan yang dipandu sendiri.

Bulatan seluas 7.3 hektar dan merupakan yang terbesar di negeri ini itu turut memiliki Wading Pool untuk kanak-kanak mandi manda sedalam 0.6 meter.

Kawasan ini juga memiliki tarikan utamanya, iaitu air pancuran berirama dengan pancaran cahaya berwarna-warni malah keletah golong­an kanak-kanak yang pas­tinya tidak mahu ketinggalan bermain air sambil melihat panorama indah dan kehijauan lanskap di kawasan tersebut terutamanya pada waktu malam juga mengujakan.

Sejak dibuka kepada umum pada 25 November 2016 yang lalu tidak hairanlah bulatan Amanjaya menjadi sebutan di laman sosial serta tum­puan terutama bagi golongan keluarga mengadakan aktiviti riadah pada waktu malam dan hujung ming­gu.

Kawasan tersebut juga dilengkapi pelbagai kemudahan riadah lain seperti laluan berjoging, boulevard, kawasan santai, kerusi untuk ber­istirehat serta beberapa kemudahan untuk bersenam.

Malah difahamkan pancuran air berirama dan tirai air dengan lampu berwarna warni mulai di pasang dari pukul 8 hingga 11 malam setiap hari.

Faktor keselamatan anda tidak perlu khuatir kerana kawasan ini dilengkapi 22 unit kamera litar tertutup (CCTV) selain pengawal keselamatan yang bertugas siang dan malam.

Berhampirannya tersergam indah Movie Animation Parks studio MAPS yang setakat bulan Mac 2018 telah menerima kehadiran pengunjung 33,400 orang (purata 1,077 sehari) dan 90 peratus kehadiran adalah pelancong luar dari Perak.

Selain itu Bandaraya Meru juga tidak sunyi pada sebelah malamnya, apabila bulatan ini meriah dengan cahaya lampu yang terang dan menjadi tumpuan keluarga beriadah setelah sibuk seharian bekerja.

Bagi yang tercari-cari aneka makanan dan minuman boleh singgah ke Food Truck Garden@Meru Raya dari makanan tempatan hingga ke makanan barat pastinya memenuhi selesa anda, ruangnya juga yang terbuka dan santai cuba menyenangkan.

Masa Depan Meru Raya

Apa lagi pembangunan bakal muncul di Meru? Pastinya pertanyaan ini tercetus di fikiran kita bukan, namun pastinya kerajaan Negeri melalui PKNP telah merangka pembangunan mampan di sekitar kawasan ini.

Menurut sumber PKNP pelbagai perkara yang dirancang dan bakal dibangunkan di Meru yang pastinya berjalan mengikut perancangan yang jangka masanya tersendiri.

Pembangunan Bandar Meru Raya secara terarah dengan objektifnya membangunkan sebuah bandar yang bersifat ‘self-contained’ bersepadu, efisien, moden dengan mewujudkan persekitaran yang kondusif dan berkualiti.

Cadangan pembangunan juga berfungsi sebagai Pusat Pentadbiran Baru Negeri Perak yang berstatus MSC Cybercentre.

Antara cadangan pembinaan yang dirangka pihak PKNP ialah presint kerajaan meliputi pembangunan Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh Barat (IPD) dan kompleks mahkamah baharu Ipoh seluas 42 ekar serta pembinaan Masjid Negeri, My Medical Center dan cadangan pembinaan Quest universiti.

Turut tersenarai dalam rancangan berkaitan pelancongan dan hospitaliti ialah pembinaan ‘water theme park’, hotel bertaraf lima bintang serta pelbagai lagi kemudahan yang akan memberikan manafaat kepada rakyat juga ekonomi Negeri Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");