Jenayah

Minta Sogokan RM1.8 Juta, Datuk Seri Indera Ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bergelar Datuk Seri Indera ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta sogokan berjumlah RM1.8 juta dari seorang bekas ketua pengarah agensi kerajaan, semalam.

Suspek berusia 49 tahun yang juga seorang jurutera perunding itu, dikatakan berjumpa dan mendakwa mangsa serta beberapa lagi pegawai agensi kerajaan terbabit sedang disiasat SPRM.

Selain mengaku mampu menyelesaikan kes itu, suspek juga mendakwa mampu mendapatkan gelaran Datuk Seri untuk mangsa dan meminta RM1.8 juta bagi kedua-dua tujuan itu.

Sumber SPRM berkata, suspek bertemu mangsa di sebuah restoran di ibu negara pada pertengahan bulan ini untuk berunding.

“Suspek juga telah menyatakan dia dapat menyelesaikan kes SPRM terbabit kerana mengenali pengurusan tertinggi SPRM yang akan membantunya.

“Sangsi dengan perkara itu, mangsa bertindak merujuk perkara itu untuk mengambil tindakan lanjut dan SPRM melakukan siasatan sebelum melakukan tangkapan di Bandar Baru Bangi kira-kira jam 12.45 tengah hari,” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan suspek kini direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mohammed Abduh Md Hafidz.

Sehubungan tu, Azam mengingatkan mereka yang cuba mencemarkan nama baik dan reputasi agensi itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terbabit.

“Saya meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dan jika ada mana-mana individu menyatakan anda disiasat SPRM, hubungi kami untuk mengesahkan perkara itu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");