Berita Hari Ini

Najib Peraku Hak Sabah, Sarawak Dilaksanakan – Ahmad Zahid

KIMANIS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperakukan hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus dilaksanakan kerana kerajaan mengiktiraf kedua-dua negeri itu sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Najib mengakui perkara berkaitan hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 yang tidak ditunaikan semasa kepimpinan perdana menteri terdahulu harus ditunaikan.

“Jelas MA63 diakui Datuk Seri Najib. Jika ada yang terambil, bukan oleh Datuk Seri Najib, tetapi oleh perdana menteri yang telah memimpin negara selama 22 tahun, sekarang kita mahu kembalikan apa-apa yang terambil itu.

“Jika ada isu terlepas pandang atau perkara yang tak diselesaikan pemimpin dulu, Datuk Seri Najib akan mencari jalan untuk menyelesaikannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat peringkat Parlimen Kimanis di Bongawan dekat sini, sebagaimana dilaporkan Bernama.

Malah, Ahmad Zahid berkata Najib turut melantik pemimpin dari Sabah iaitu Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan dari Sarawak iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri untuk mewakili kerajaan mengkaji dan memperincikan perkara yang berkaitan kedua-dua negeri itu dalam MA63.

“Apabila Anifah dan Nancy diberi mandat oleh kabinet (untuk mengkaji dan memperincikan MA63) bererti kepimpinan negara (Najib) mempunyai kesungguhan (untuk melaksanakan perkara dalam MA63).

“Ia (perkara dalam MA63) bukan semata-mata janji dalam manifesto BN (untuk PRU14), tetapi proses pelaksanaannya telah berjalan,” katanya.

Anifah, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis dan penyandang kerusi Parlimen Kimanis, berkata selama Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, tiada sumbangannya kepada pembangunan Sabah.

Dia (Dr Mahathir) kata orang Sabah pemalas. Tentunya kami di Sabah amat tersinggung,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");