Perak Hari Ini

Nazri Puji MB Perak Berjaya ‘Bersihkan’ Ipoh

MANJUNG:Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memuji tindakan yang diambil Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam usaha menerapkan kesedaran sivik dalam menjaga kebersihan sekitar Bandaraya Ipoh.

Katanya, contoh yang ditunjukkan sendiri oleh Menteri Besar untuk menerapkan sikap menjaga kebersihan  telah berjaya menarik kehadiran pelancong terutama pelancong luar negara ke Ipoh.

“Saya ucapkan tahniah kepada Menteri Besar kerana Ipoh merupakan satu tempat disukai oleh pelancong China dan Jepun..saya ucap terima kasih kepada Menteri Besar kerana membersihkan Bandar Ipoh.

“Tiga minggu lepas saya secara senyap-senyap pergi ke Ipoh melawat tempat-tempat pelancongan memang Menteri Besar telah berjaya menjadikan Ipoh sebagai satu tempat yang disinggah oleh pelancong sebelum pergi ke Pulau Pinang,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Program Lumut 18, My Kampung Tourism “moh..kome,kite Ke Perak yang berlangsung di pandang Dewan EMV Manjung di sini hari ini.

Katanya, elemen kebersihan adalah penting kerana pelancong akan melihat kebersihan dalam negeri Perak.

“Langkah ini menunjukkan kesedaran sivik yang tinggi menjadi penyebab pelancong suka datang melawat ke negeri kita. Tahniah saya ucapkan. Kalau Menteri Besar tak turun angkat sampah, orang lain tak ikut jaga kebersihan jadi ia sangat penting,” katanya.

Beliau yang mengakui pernah mengadakan kunjungan ke Ipoh secara senyap-senyap merasakan keadaan dan kebersihan Ipoh telah berubah.

Beliau juga mengalakkan pelabur yang berminat melabur di Negeri ini memilih sektor pelancongan dan perhotelan yang berpotensi tinggi.

“Empat bulan terakhir hasil daripada kutipan cukai hotel telah membolehkan kementerian menyumbangkan sebanyak RM200,000 kepada kerajaan negeri untuk mempromosikan pelancongan di Negeri Perak, ini peringkat permulaan jika banyak hotel dibangunkan ramai pengunjung dari luar negara datang melawat ke Perak pastinya setiap tahun hasil boleh mencecah sehingga RM1 juta.

“Menteri Besar disaran untuk memaklumkan pelabur yang ingin datang ke Perak memilih bidang perhotelan kerana bilik hotel masih kekurangan di negeri Perak,” katanya lanjut.

Terdahulu Program Lumut 18, My Kampung Tourism “moh..kome,kite Ke Perak menyediakan pelbagai program menarik seperti sukan rakyat, sukan kanak-kanak, pertandingan Rendang Tok dan persembahan artis tempatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");