Berita Hari Ini

Nilai Usaha Kerajaan Dengan Fakta: PM

KUALA LUMPUR: Pemandu teksi di negara ini diminta menilai pelbagai usaha dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membantu mereka berdasarkan fakta dan bukan dengan emosi yang dipengaruhi pihak tidak bertanggungjawab.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan meletakkan keutamaan tinggi bagi memperkasa pengangkutan awam termasuk industri teksi kerana sedar ia penting untuk transformasi negara menjadi maju.

Beliau berkata, pada 2012 sahaja pelbagai inisiatif dilakukan antaranya pemberian subsidi tayar RM520 kepada semua pemandu teksi seluruh negara atau TR1Ma 1.0; insurans peribadi dengan peruntukan RM1 juta dan skim bantuan penukaran teksi bernilai RM3,000 untuk kenderaan di bawah 10 tahun dan RM1,000 bagi kenderaan berusia lebih 10 tahun.

“Kerajaan juga memberi pengecualian kos cukai jalan kepada pemandu teksi dan mereka cuma perlu membayar kos pengurusan RM2 dan peruntukan RM200 juta melalui BSN (Bank Simpanan Nasional) sehingga 2015 untuk pemandu teksi individu mendapatkan pinjaman pembelian kenderaan.

“Program subsidi tayar TR1Ma 2.0 ini diteruskan pada 2013 dengan peruntukan RM35 juta dan TEKS1M (Teksi 1Malaysia) dengan pengeluaran 1,000 lesen kepada pemandu individu yang layak tanpa perlu membuat bayaran pendahuluan untuk membeli Proton Exora.

“Pada 2015 kerajaan menyemak tambang teksi dengan peningkatan 23 peratus dan melancarkan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) pada 2016 untuk menyelesaikan masalah struktur dalam industri teksi,” katanya dalam catatan terbaru di blognya, www.najibrazak.com dan turut dikongsi di Twitternya lapor Berita Harian.

Najib berkata, melalui TITP, kerajaan mengenal pasti sistem pajakan yang tidak adil yang disifatkan seperti ‘sistem perhambaan moden’ dan membawa banyak masalah.

“Hasil daripada TITP ini, antara lain, dalam Bajet 2017 saya mengumumkan geran khas RM5,000 tunai untuk membeli kenderaan baharu dengan lesen individu yang tamat tempoh pajakan.

“Kerajaan sedar kita perlu mengikuti perkembangan teknologi semasa agar tidak ketinggalan, justeru dalam Bajet 2018, saya mengumumkan geran RM5,000 untuk membeli kenderaan baharu kepada pemandu teksi yang ingin beralih kepada e-hailing serta memastikan syarat operasi sama antara perkhidmatan teksi dan e-hailing untuk memastikan persaingan kekal sihat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kelmarin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), lebih 10,000 pemandu teksi diberi Kad Bantuan Teksi 1Malaysia (KBT1M) bernilai RM800 untuk mengisi minyak atau gas asli untuk kenderaan (NGV) di stesen PETRONAS.

“Insya-Allah, inisiatif ini akan memanfaatkan 67,000 pemandu teksi seluruh Malaysia. Selain itu, kerajaan akan memberikan kelayakan automatik kepada pemandu teksi berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menghadapi masalah berkaitan permohanan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” katanya.

Najib berkata, beliau sedar di sebalik usaha kerajaan melalui agensi pelaksana Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, ada suara sumbang dan pihak tidak bertanggungjawab berterusan menghasut pemandu teksi kononnya nasib mereka diabaikan.

“Lebih-lebih lagi kita sekarang dalam musim pilihan raya, mereka menyatakan KBT1M ini untuk memancing undi, ada yang kata gula-gula, dedak dan sebagainya, kononnya hanya pada waktu pilihan raya kerajaan muncul untuk membantu.

“Ini tidak lain tidak bukan hanyalah perbuatan golongan yang agenda mereka cuma ingin memburukkan segala usaha kerajaan selain bermotifkan politik sempit dan bersifat kebencian,” katanya.

Tegas Najib, segala inisiatif bagi memperkasa industri teksi dibuat hampir setiap tahun dan bukan saja dalam musim pilihan raya dan boleh diteliti dalam catatan terdahulu di blognya.

“Adililah segala usaha ini berdasarkan fakta dan angka yang terpampang dan tersedia, bukan dengan emosi yang dipengaruhi kata-kata nista dan dusta pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda peribadi dan menjual harapan palsu semata-mata,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");