Jenayah

Nimalan, Ravi Chandaran Tahu Apa Berlaku Pada Kevin Morais – Tertuduh

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu hanya dua daripada tertuduh tahu apa yang berlaku kepada Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais selepas kereta mangsa dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda dinaiki empat tertuduh pada 4 Sept 2015.

Dalam prosiding membela diri terhadap pertuduhan membunuh timbalan pendakwa raya itu, M. Vishwanath, 28, berkata dia hanya nampak Kevin Morais beberapa ketika iaitu semasa pelanggaran antara Mitsubishi Triton yang dinaikinya dengan Proton Perdana V6 milik mangsa serta ketika Kevin Morais mengalihkan keretanya itu ke tepi jalan dan berbual-bual dengan dua lagi tertuduh iaitu S.Nimalan dan S.Ravi Chandaran.

“Semasa mereka bertiga (Kevin Morais, Nimalan, Ravi Chandaran) berbual, saya ada lihat ketiga-tiga mereka. Semasa kereta Kevin Morais keluar (beredar dari tempat pelanggaran), saya tidak toleh dan lihat kereta itu,” katanya.

Vishwanath berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin pada hari ketujuh prosiding bela diri terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul di sini ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015.

Menurutnya, bagaimanapun selepas kereta mangsa yang dipandu Ravi Chandaran beredar, dia tidak lagi melihat Kevin Morais dan mangsa juga didapati tidak ada di tempat kejadian.

Menjawab soalan Saiful Edris, adakah Kevin Morais ada di dalam keretanya yang dipandu Ravi Chandaran, Vishwanath berkata tidak dan hanya Ravi Chandaran yang kelihatan memandu kereta Perdana V6 itu beredar dari tempat kejadian.

Kepada cadangan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, tertuduh itu tidak bersetuju bahawa selepas Kevin Morais mengalihkan keretanya ke tepi jalan, dia telah turun dari kenderaan Mitsubishi Triton dan menampar Kevin Morais.

Tertuduh juga tidak bersetuju bahawa dua lagi tertuduh iaitu A.K Thinesh Kumar dan R. Dinishwaran telah membantunya menarik Kevin Morais masuk ke tempat duduk belakang kereta Perdana V6 mangsa sebelum Ravi Chandaran memandu kereta itu ke sebuah bengkel milik seorang lelaki dikenali sebagai Murugan.

Kepada cadangan Wan Shaharuddin bahawa ketika di dalam kereta mangsa, Thinesh Kumar dan Dinishwaran telah memukul Kevin Morais sehingga pengsan manakala di bengkel, leher Kevin Morais telah dijerut dengan tali pinggang dan mukanya diserkup dengan plastik, tertuduh menjawab “tidak setuju”.

Pada prosiding itu, Dinishwaran, Thinesh Kumar, Vishwanath; Nimalan dan Ravi Chandaran diwakili peguam V.Rajehgopal manakala doktor tentera Kolonel Dr R. Kunaseegaran diwakili peguam Datuk N.Sivananthan.

Dinishwaran, 26; Thinesh Kumar, 25; Vishwanath; Nimalan, 25, Ravi Chandaran, 47, dan Dr Kunaseegaran, 55, didakwa membunuh Kevin Morais mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mayat Kevin Morais, 55, ditemukan di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 Sept 2015 selepas dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 17 April.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");