Sukan Hari Ini

Pahang Kempunan Bawa Pulang 3 Mata

HASRAT Pahang untuk mencuri tiga mata di Stadium KLFA tidak kesampaian apabila pertembungan dengan Kuala Lumpur berkesudahan seri 2-2, semalam.

Pahang yang berdepan masalah kecederaan pemain utama tetap meletakkan sasaran mata penuh untuk aksi menentang Kuala Lumpur bagi mengejar kedudukan Liga Super.

Namun, keadaan hujan lebat dan terpaksa beraksi dengan padang yang basah selepas aksi tertangguh selama setengah jam seolah-olah merentap semangat skuad Tok Gajah untuk tampil berkesan seperti yang diharapkan.

Skuad kendalian Fabio Maciel itu berada dalam keadaan yang lebih baik berbekalkan barisan pemain yang dimiliki untuk membuktikan kelebihan mereka menerusi gol awal hasil jaringan Guilherme de Paula pada minit ke-9 tetapi kedudukan 1-0 tidak bertahan lama apabila tandukan Mohamadou Sumareh tiga minit kemudian menjadikan kedudukan terikat 1-1.

Kapten Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin, menyelamatkan keadaan skuad warga kota dengan jaringan pertamanya pada musim ini ketika aksi memasuki minit ke-38 untuk kembali meletakkan pasukannya di depan.

Memasuki babak kedua, pemain muda Pahang, R. Kogileswaran, membalas kepercayaan yang diberikan oleh Dollah Salleh dengan jaringan penyamaan pada minit ke-59.

Pahang seharusnya menarik nafas lega kerana jaringan ketiga tuan rumah, sekali lagi menerusi De Paula, dibatalkan kerana penyerang itu didakwa berada dalam kedudukan ofsaid.

Tiada sebarang penambahan gol menyaksikan kedua-dua pasukan sekadar berkongsi mata selepas perlawanan tamat dengan kedudukan 2-2.

“Kami mendahului dalam babak pertama tetapi aksi pada hari ini agak mengecewakan,” kata Maciel.

“Pahang berdepan masalah kecederaan pemain-pemain utama tetapi masih mampu bermain baik, cuma tidak dapat memanfaatkan peluang-peluang yang terhidang,” ujar Dollah kepada Stadium Astro.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");