Isu Panas

PAS Mahu Jadi ‘King’ di Selangor

Naib Presiden PAS, Iskandar Samad berkata parti itu kini berhasrat menjadi ‘king’ di Selangor selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan bukan hanya sekadar ‘kingmaker’.

Dalam ucapan pada majlis pengumuman calon PAS di Selangor malam ini, Iskandar berkata perkara itu selaras dengan pengumuman awal PAS untuk bertanding lebih 160 kerusi parlimen.

“Diuar-uarkan yang kita nak jadi ‘kingmaker’. Kalau 160 kerusi tuan-tuan bukan kingmaker. Tapi kalau 160 kerusi kita yang nak jadi ‘king’ tuan-tuan.

“Begitu juga di Selangor. Saya berharap tak mahu dengar lagi cerita tentang ‘kingmaker’. PAS akan menjadi ‘king’ bersama dengan rakan-rakan kita,” kata Iskandar dalam ucapannya pada satu majlis di Shah Alam malam ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata parti Islam itu hanya perlu menang 40 kerusi parlimen untuk menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Harapan.

Di Selangor, Iskandar berkata pemimpin PAS pusat menjadikannya sebahagian daripada strategi parti itu untuk menawan negeri itu dari HARAPAN.

“Kita mesti memimpin Selangor. Ini penting sebab kita nak mematahkan apa saja tuduhan-tuduhan yang mengatakan bahawa PAS ini hanyalah parti di kawasan Malay belt di Utara dan Pantai Timur.

“Dengan terus memimpin negeri Selangor dapat menunjukkan bahawa PAS bukan hanya sebagai parti Melayu Islam tapi boleh memimpin seluruh rakyat Malaysia,” kata Iskandar.

’20 parlimen, 47 DUN’

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehin Mukhyi kemudian mengumumkan calon parti itu yang akan bertanding di 20 daripada 22 kerusi parlimen dan 47 daripada 56 kerusi DUN.

Sallehin, yang akan mempertahankan kerusi DUN Sabak, memberitahu pemberita selepas itu bahawa dua kerusi parlimen Subang dan Damansara – mungkin ditandingi rakan dalam gabungan Gagasan Sejahtera iaitu Parti Ikatan Bangsa Malaysia atau Berjasa.

Terdahulu, kira-kira 1,000 ahli PAS hadir di majlis pengumuman berkenaan di Shah Alam dan melaungkan takbir apabila seorang demi seorang calon diumumkan naik ke pentas.

Di peringkat parlimen, PAS meletakkan Mohamed Diah Baharun, 53 di Kota Raja yang dijangka akan berdepan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

PAS memilih jurutera berusia 39 tahun Khairil Nizam Khirudin untuk bertanding di parlimen Gombak yang dimenangi Timbalan Presiden PKR dan menteri besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada PRU ke-13.

Selain itu PAS juga melantik seorang anak muda, aktivis parti berusia 35 tahun Nurul Islam Mohamed Yusoff untuk bertanding di Ampang, yang sebelum ini dimenangi Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin.

Di peringkat negeri, sorakan gemuruh menyambut pengumuman Mohd Hanafi Zulkapli sebagai calon PAS di DUN Paya Jaras yang sebelum ini disifatkan sebagai “kerusi yang dicuri” daripada parti itu.

Kerusi Paya Jaras menjadi tajuk utama selepas penyandangnya, Khairuddin Othman keluar dari PAS awal bulan ini bagi menyertai PKR, sehari selepas parlimen secara rasmi dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU14.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");