Berita Hari Ini

Perang Media Sosial Lebih Hebat Menjelang PRU14 – Pemerhati

KUALA LUMPUR — Perang saraf menerusi media sosial dijangka lebih hebat menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi menarik pengundi terhadap sesebuah parti, demikian menurut seorang pemerhati politik.

Pakar Strategis Geopolitik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata media sosial dilihat menjadi senjata utama berikutan rata-rata rakyat kini memiliki akaun media sosial yang mudah diakses menerusi telefon pintar.

“Permainan media sosial merupakan senjata dan persepsi tersirat yang dapat mengaburi mata dan pemikiran tanpa kita sedar. Ia (media sosial) sangat sofistikated kerana penyebaran berita dan gambar dilakukan secara terperinci dan terancang.

“Apa yang disebarkan boleh mengaburi semua orang sehinggakan bila kita baca dan lihat gambar yang disebarkan, kita tak boleh nak tahu benar atau tidak,” katanya pada sesi bual bicara ‘Percaturan Persepsi Mengaburi Pemikiran Rakyat’ di sini, hari ini.

Sesi bual bicara selama empat jam tersebut turut dihadiri isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI).

Azmi memberi contoh isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diputar belit hasil kenyataan seorang pemimpin kerajaan sehingga rakyat menyalahkan cukai tersebut berhubung kenaikan harga barang.

“Jika hal ini (GST) diperjelaskan oleh Jabatan Kastam, pasti ia tidak akan menjadi isu besar seperti hari ini.

“Saya percaya, dalam dua, tiga minggu ini menjelang PRU14, pasti ada lagi berita dan gambar yang bukan-bukan disebarkan pembangkang bagi mengubah persepsi rakyat kepada kerajaan, ” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");