Isu Panas

Pertembungan dua penjuru uji kemampuan parti

POLITIK
Pertembungan dua penjuru uji kemampuan parti
MUHAMMAD FAIZ SULONG
30 APRIL 2018
Pertembungan dua penjuru uji kemampuan parti
Kempen pilihan raya. – Foto Bernama
A- A+ (Ubah saiz teks)
SHAH ALAM – Pertembungan dua penjuru melibatkan BN dan Pakatan Harapan (Harapan) di beberapa kerusi hangat dijangka menguji kekuatan keseluruhan sokongan dan jentera parti dalam meraih sokongan rakyat secara maksimum.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, selain itu situasi pertembungan dua penjuru itu juga dilihat sedikit sebanyak akan menjejaskan blok ketiga iaitu Gagasan Sejahtera, khususnya dalam konteks kerusi dimenangi secara keseluruhan.

“Pertembungan dua penjuru antara Harapan dan BN, akan menguji khususnya kekuatan parti, jentera, calon dan sebagainya secara keseluruhan.

“Calon yang punyai kelebihan dan keistimewaan seperti lebih dikenali dan mempunyai sokongan jentera yang lebih kuat pastinya akan mempunyai kelebihan,” katanya.

Jeniri berkata, dalam konteks itu beliau percaya ia banyak bergantung kepada bagaimana dokongan parti komponen lain dalam pakatan politik.

“Jadi dalam konteks BN misalnya, kita akan melihat jika seluruh jentera mampu berikan sokongan untuk meraih sokongan undi pada tahap maksimum.

“Selain itu, bagi blok ketiga diketuai Pas yang tak bertanding, pastinya ini akan beri kesan kepada jumlah kerusi akan dimenangi oleh Pas secara keseluruhan. Jadi, Pas sebenarnya dalam keadaan terhimpit kerana tidak meletakkan calon di kawasan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Selesai hari penamaan calon kelmarin, memperlihatkan beberapa kerusi Parlimen hanya ditandingi oleh dua calon melibatkan BN dan Harapan.

Di Johor, terdapat enam kerusi Parlimen melibatkan pertembungan dua penjuru termasuk Sekijang, Sembrong, Kota Tinggi, Pengerang, Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

Sementara itu, mengulas mengenai calon muda, Jeniri berkata, penampilan calon muda pada pilihan raya adalah wajar, bukan sahaja bagi meneruskan kesinambungan perjuangan pimpinan terdahulu, malah untuk proses meremajakan parti.

“Dan ini sesuatu yang dinanti-nantikan oleh pengundi, yang mahu melihat calon muda menggantikan calon yang sudah terlalu lama berada di tampuk pimpinan atau yang tidak lagi memperlihatkan prestasi kepimpinan yang baik.

“Jadi kehadiran calon muda diharap dapat memenuhi impian dan aspirasi, khususnya golongan muda kerana harus diingat jumlah pengundi muda juga tinggi.

“Begitu pun, calon muda ini perlu memiliki wawasan, karisma dan kredibiliti yang sepatutnya untuk menjadi satu figura yang ampuh. Kalau calon muda hanya sekadar muda semata-mata, itu tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan untuk rakyat,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");