GEORGETOWN – Polis Pulau Pinang mengenal pasti sebanyak 39 ‘kawasan panas’ sepanjang berlangsungnya kempen PRU14 di sekitar negeri ini.
Sebanyak 35 kawasan ‘flash point’ yang dianggap sebagai berisiko menimbulkan masalah ketenteraman awam juga akan diberi perhatian serius.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata, kawasan itu dikenal pasti berdasarkan kepada pengalaman sebelum ini yang pernah menimbulkan kekecohan.
“Kita tidak mahu cakap inilah antara kawasan panas. Kita ada 39 (kawasan panas) pun sudah banyaklah dari dulu.
“Tapi walaupun kita kenal pasti tempat-tempat tersebut, tidak semestinya berlaku kawasan panas terpulang kepada perilaku manusia itu sendiri.
“Kalau mereka semua aman damai ikut undang-undang, mana ada kawasan panas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan mesra ke Hospital Pulau Pinang, di sini, siang tadi.
Menurutnya, Polis Pulau Pinang juga sudah 100 peratus siap menghadapi PRU14 dengan semua pegawai dan anggota telah diberi latihan yang cukup mengenai undang-undang serta proses perjalanan pilihan raya.
“Kita tunggu pada hari pencalonan nanti, lebih 2,000 pegawai dan anggota akan bertugas dan pada hari mengundi pula hampir 6,000 orang akan bertugas.
“Persiapan rapi telah dibuat dan kita hanya mengingatkan kepada semua pengundi supaya keluar mengundi.
“Tidak perlu takut apa-apa kerana ketenteraman dan keamanan ditentukan polis. Jangan buat perkara yang tidak akur kepada undang-undang,” katanya.
Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang boleh menakutkan ataupun menggusarkan masyarakat.
“Polis tetap akan ambil tindakan. Kita akan buat siasatan ,” katanya.-Sinar