Berita Hari Ini

Polis Larang Penggunaan Dron, Paraglider

IPOH: Tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu atau mana-mana pihak yang menggunakan dron atau paraglider ketika proses penamaan calon yang berlangsung esok di seluruh negara.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, penggunaan dron dan paraglider ketika proses penamaan calon dilarang sama sekali di semua pusat penamaan calon di seluruh negara.

“Memang (dron dan paraglider) dilarang sama sekali dan salah.

“Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan membuat kawalan terhadap keselamatan di udara dan memberi keutamaan terhadap aspek penggunaan dron serta paraglider

“Tindakan tegas akan diambil,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat dan Perjumpaan bersama petugas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Dewan Serbaguna Pusat Latihan PGU (PLPGU) di sini, sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Zulkifli berkata, sekiranya mana-mana individu atau penyokong parti politik yang mahu menggunakan kedua-dua peralatan itu, mereka diminta membuat permohonan menerusi Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

“Perkara itu di bawah DCA, kalau hendak menggunakannya, perlu ada kelulusan daripada DCA kerana (penggunaan dron dan paraglier) ada ancaman dari segi keselamatan sekiranya terjatuh menimpa orang awam,” katanya.

Pada proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar Jun 2016, dua paraglider menyerah diri manakala PRK Sungai Besar, Selangor, empat individu ditahan susulan menggunakan paraglider ketika proses berkenaan berlangsung.

Sementara itu, beliau berkata polis juga tidak mahu menimbulkan keresahan orang awam dengan mendedahkan kawasan panas yang menjadi perhatian bagi pemantauan pasukan itu.

Katanya, pihaknya mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk menangani sebarang ancaman membabitkan keselamatan awam di semua kawasan di seluruh negara sepanjang PRU-14.

“Setiap hari kita akan dapat maklumat baru dan keputusan atau tindakan akan berubah bergantung kepada keadaan semasa.

“Kita turut menjalankan NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) dengan meminta bantuan RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) bagi membantu kelancaran lalu lintas dan kalau perlu kita akan gunakan (bantuan) agensi lain,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");