PARIT: Pembangkang dalam Parlimen Parit khusus di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota kini senyap dan tergamam apabila projek jambatan yang menghubungkan antara kawasan Lambor Kanan dan Lambor Kiri kini sudah mula berjalan.
Calon Barisan Nasional (BN) DUN Bota, dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) Khairul Shahril Mohamed berkata isu jambatan yang sering dimainkan pembangkang itu dijangka bakal siap pada tahun 2020.
Jelasnya, kerja-kerja pembukaan tanah telah bermula sekitar sebulan yang lalu.
Tambah Khairul, ia bukanlah dibuat kerana musim PRU tiba, sebaliknya kerja-kerja pembangunan jambatan itu telah dirancang terlebih awal dan secara kebetulan ia berjalan pada musim tersebut.
“Dengan adanya jambatan itu nanti ia akan memberikan kesan positif antara kedua-dua kawasan di sini yang mana pada umumnya, penduduk di Lambor Kanan dan Lambor Kiri masing-masing mempunyai tali persaudaraan keluarga yang kuat.
“Selain itu, ia juga bakal memudahkan urusan penduduk Lambor Kiri untuk berusan dengan hal-hal pentadbiran yang mana banyak pejabat-pejabat kerajaan terdapat di Lambor Kanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui PerakToday di tapak projek jambatan berkenaan di Lambor Kiri, dekat sini, pada Isnin.
Ujarnya lagi, dengan pembinaan jambatan ini ia dapat dijadikan bukti kukuh bahawa kerajaan pimpinan BN sentiasa menepati janji kepada rakyat.
Difahamkan sebelum ini terdapat sebuah jambatan kayu yang menghubungkan antara dua kawasan terbabit namun akibat peristiwa banjir besar yang berlaku di situ sekitar awal tahun 2000, ianya runtuh.
Jambatan yang menelan kos RM53 juta itu bakal memberi mannfaat kepada lebih kurang 10,000 orang penduduk setempat.