Jenayah

PRU-14: Polis Fokus Negeri ‘Panas’, Termasuk Perak

PARIT BUNTAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberikan fokus kepada beberapa negeri ‘panas’ bagi menjamin keselamatan di seluruh negara sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Memetik laporan Utusan Online, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, negeri-negeri yang menjadi keutamaan itu termasuklah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Terengganu serta Sabah dan Sarawak.

“Keutamaan kita adalah di Lembah Klang. Negeri itu ‘panas’ bukan maknanya meluap-luap tetapi terkawal. Saya sudah pun memberikan arahan kepada semua Pesuruhjaya Polis dan Ketua Polis.

“Saya yakin pucuk kepemimpinan tertinggi PDRM di Bukit Aman dan negeri telah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi PRU-14,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program bebas jenayah dan dadah Masyarakat Kerian Sejahtera di Dataran Kerian Permai yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya mengambil langkah komprehensif termasuk menyediakan pasukan cantas secukupnya setelah 1,131 individu dikenal pasti berpotensi mencetuskan kekecohan pada PRU-14.

Jelasnya, di Perak, sebanyak 8,700 kekuatan keseluruhan digerakkan melibatkan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan 15 daerah dengan 7,700 daripadanya digembleng untuk melaksanakan penugasan pilihan raya.

Beliau berkata, jumlah tersebut tidak termasuk 700 anggota dan pegawai tambahan yang dibantu oleh Bukit Aman.

“Di Perak, terdapat 23 ‘hotspot’ khususnya di empat daerah iaitu di Kuala Kangsar, Hilir Perak, Taiping dan Ipoh.

“Sebanyak 440 individu dikenal pasti berpotensi menimbulkan kekecohan dan daripada jumlah itu, 23 orang merupakan individu keutamaan satu,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");