Perak Hari Ini

PRU14: Bertanding Kerusi Parlimen, DUN Satu Tanggungjawab – Zambry

LUMUT: “Dengan penuh insaf, saya menerima tanggungjawab itu”; demikian kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika ditanya pemberita berkenaan kepercayaan Barisan Nasional (BN) yang meletakkan dirinya sebagai calon kerusi Parlimen Lumut dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor, dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, sebagai calon yang bertanding di dua kerusi, ia bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan sebaliknya beliau menganggap ianya sebagai suatu tanggungjawab yang harus digalas dengan baik.

“Saya tidak datang dengan keangkuhan atau kesombongan sebaliknya, saya datang untuk melaksanakan tugas dan berkhidmat di kawasan berkenaan, sekiranya diberi mandat,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas tentang pencalonan lebih 50 peratus muka baharu, Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata ia merupakan salah satu langkah transformasi dan penambahbaikkan parti dalam menempuhi PRU14.

Ujarnya, ianya juga sebagai satu keputusan pucuk pimpinan yang mana ianya dibuat dengan penuh teliti dan harus diterima semua pihak.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua mantan-mantan wakil rakyat.

“Ada juga pihak yang menyuarakan agar dirinya tidak bertanding pada kali ini, supaya golongan wanita, pemuda dan muka baharu boleh diketengahkan,” jelasnya.

Beliau juga berkata calon-calon muka baharu yang diletakkan itu bukan sahaja seorang pemimpin, sebaliknya BN menawarkan calon yang mempunyai sifat-sifat kepimpinan yang tinggi.

Beliau berkata demikan kepada media selepas menyempurnakan Majllis Penyampaian Hak Milik Strata kepada Pemaju dan Badan Pengurusan (JMB) Manjung 2018, di Pangsapuri Bukit Permata, dekat sini, pada Rabu.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");