PARIT: Pengaruh sebagai seorang bekas guru yang telah berkhidmat selama, 24 tahun di daerah ini, bukanlah suatu kelebihan utama buat calon Barisan Nasional (BN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah, untuk tidak keluar memperkenalkan diri kepada pengundi bagi Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).
Jelasnya, sebagai calon muka baharu, beliau harus meneruskan gerak kerja bertemu pengundi di kawasan yang ditandinginya bagi memperkenalkan diri sebagai calon.
Walaupun terdapat ramai bekas anak murid yang menyatakan sokongan terhadap dirinya, Khairudin berkata masih terdapat beberapa pengundi yang masih belum mengenalinya.
“Masih ada orang yang perlu saya dekati dan memperkenalkan diri. Mungkin ada yang kenal wajah tapi tak tahu nama saya dan mungkin juga dia kenal nama saya tetapi tidak kenal wajah saya,” katanya yang lebih mesra dipanggil ‘Cikgu Din’.
Dalam pada itu ujarnya, beliau tidak dapat menafikan pengaruh bekas Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan, dan bekas penyandang kerusi DUN Belanja, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria masih ada di kawasan Belanja malah mengakui kedua-dua tokoh berkenaan adalah idola dirinya dalam arena politik.
Walau bagaimanapun, dalam mengatur gerak kerja, Khairudin berkata beliau mengambil pendekatan mereka sebagai panduan dan mengaplikasikannya mengikut rentak dirinya sendiri.
“Kita mula bergerak apabila selesai pengumuman calon yang dilakukan di Kediaman Menteri Besar yang lalu.
“Namun, sebagai muka baharu, saya amat memerlukan bimbingan daripada orang lama, kepimpinan serta ketua-ketua bahagian untuk saya bergerak dan mampu melaksanakan amanah yang dipikul ini demi kelangsungan kemenangan bergaya UMNO dan BN Parit.,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sesi lawatan bertemu pengundi di daerah ini, hari ini.
Khairudin yang memulakan sesinya itu seawal jam 8.00 pagi turut melawat dan beramah mesra dengan masyarakat setempat di beberapa kawasan antaranya di Pekan Parit, Kampung Tanjung Medan, Kampung Nyior dan Kampung Bukit Chupak.
Selain anggota-anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Parit, beliau turut berkesempatan bertemu dengan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Perah, dekat sini.
Dalam PRU14, Setiausaha UMNO Bahagian Parit, itu akan bersaing dengan calon Pas, Mohd Zahid Abu Bakar dan calon PKR, Yahanis Yahya untuk kerusi yang pernah disandang Mohd Nizar pada penggal lalu.