Berita Hari Ini

PRU14: Laman Web Syarikat Bas Sesak, Harga Tiket Penerbangan Naik

Beberapa laman web tiket bas dan kereta api tidak dapat diakses atau mengalami kesesakan trafik selepas tarikh pilihan raya 9 Mei diumumkan awal hari ini.

Pembaca Malaysiakini yang cuba membeli tiket dua hala KTM ETS berkata dia terpaksa menunggu 40 minit di laman web KTM sebelum berjaya membeli tiket.

“Laman web itu jadi lembab tapi masih ada banyak kerusi,” katanya yang teruja untuk mengundi buat kali ketiga.

Tambahnya, dia cuba membeli sembilan tiket termasuk untuk rakan-rakannya namun laman web KTM hanya membenarkan pembelian maksimum enam tiket dalam satu masa.

Setakat 4 petang ini, laman web perkhidmatan bas dan kereta api berpusat di Singapura easybook.com tidak lagi dapat diakses.

Jurucakap syarikat itu memberitahu Malaysiakini bahawa laman web itu mengalami gangguan kerana isu penyelarasan dengan KTM.

“Ia menjejaskan laman web kami,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pembaca Malaysiakini memaklumkan bahawa harga tiket kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dinaikkan kira-kira RM100 dalam tempoh 20 minit pengumuman tarikh pilihan raya.

“Saya semak laman web beberapa syarikat penerbangan. Harga dinaikkan,” katanya.

Tinjauan sepintas lalu mendapati harga tiket kapal terbang bagi laluan popular sekitar tarikh pilihan raya menunjukkan harga tiket untuk pengundi di luar negara pulang mengundi agak mahal bagi kebanyakan orang.

Ketika semakan dibuat, tiket sehala dari Singapura ke Pulau Pinang untuk sebuah syarikat penerbangan berharga RM470 pada 9 Mei. Tiket sama untuk minggu berikutnya hanya berharga RM145.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");