Jenayah

PUSPAKOM Nafi Kakitangan Terbabit Tipu Tuntutan Insurans

KUALA LUMPUR: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) menafikan kakitangannya terbabit sindiket penipuan tuntutan insurans kenderaan membabitkan kerugian RM2.9 juta sejak 2016 yang ditumpaskan polis selepas menahan 10 lelaki dalam Ops Lejang Piam 2018 pada pertengahan Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail, berkata berdasarkan siasatan dan semakan pihaknya, tiada kakitangan syarikat itu ditahan, disiasat atau terbukti terbabit dalam sindiket berkenaan.

Katanya, 10 individu yang ditahan polis berhubung kes itu tidak membabitkan kakitangan PUSPAKOM dan pihaknya

menafikan sebarang pembabitan dalam proses ‘inter-agensi’ sindiket penipuan tuntutan insurans berkenaan.

“Semua pelaksanaan aktiviti pemeriksaan kenderaan dijalankan di PUSPAKOM seperti pemeriksaan khas, pemeriksaan tukar hak milik dan pemeriksaan sewa beli membabitkan kenderaan persendirian tertakluk kepada peraturan dan undang-undang serta mempunyai piawaian pemeriksaan berbeza mengikut jenis pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini lapor Berita Harian.

Akhbar NSTP pada 12 April lalu melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor mendedahkan, beberapa pegawai dan anggota polis turut terbabit dalam sindiket mengatur penipuan tuntutan insurans kenderaan palsu sejak lebih dua tahun lalu.

Pada sidang medianya, Mazlan berkata, dalang utama sindiket iaitu lelaki berusia 34 tahun menggunakan modus operandi dengan menasihati pemilik kenderaan yang mempunyai masalah hutang membuat laporan polis berhubung kehilangan kenderaan masing-masing.

Suspek kemudian melakukan proses membuat tuntutan palsu terhadap syarikat insurans dengan menggunakan ‘jaringan’ dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), beberapa agensi kerajaan dan penilai insurans untuk mendapatkan tuntutan.

Kenderaan yang dilaporkan hilang pula didaftarkan semula sebagai kenderaan baharu melalui proses ‘inter-agensi’ didalangi sindiket berkenaan.

Mohammed Shukor berkata, PUSKAKOM hanya berperanan memeriksa keadaan fizikal kenderaan dari segi kesahihan

nombor enjin dan casis berdasarkan dokumen asal diserahkan pemilik atau pembawa kepada pihaknya ketika mereka hadir menjalani pemeriksaan.

Katanya, kelulusan pemeriksaan kenderaan berpandukan kepada piawaian dan garis panduan ketat ditetapkan mengikut jenis pemeriksaan berdasarkan tujuan pemeriksaan kenderaan persendirian.

“Rekod tuntutan insurans kenderaan, status undang-undang kenderaan seperti rekod laporan polis bagi kes kehilangan kenderaan atau senarai hitam dipantau pihak berkuasa.

“Ini di luar bidang kuasa PUSPAKOM kerana pihak kami tiada akses kepada maklumat atau data berkenaan ketika kenderaan yang dilaporkan hilang hadir di PUSPAKOM untuk tujuan pemeriksaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");