Berita Hari Ini

Rozaimi Rasa Ajaib Lihat Taksub Penyokong Parti Politik

Pensyarah dan penceramah ilmu hadis terkenal Dr Rozaimi Ramle hari ini berkata, beliau tidak dapat memahami cara berfikir sesetengah penyokong parti politik yang mencaci-makinya.

Kata Rozaimi, akibat pandangan yang diberikannya itu dia dituduh suka memecah-belahkan umat Islam.

Menurutnya dia dimarahi apabila memberi nasihat umum supaya tiada mana-mana pihak “menjual nama Islam” dengan begitu mudah sebelum memperbaiki diri sendiri.

“Saya tidak tahu adakah dengan membiarkan nama Islam dijual tanpa disiplin itu wajar disenyapkan semata-mata untuk bersatu.

“Jika dibiarkan pun, sudahkah kita bersatu sebelum ini? Atau ia hanya alasan untuk menutup kelemahan golongan tertentu?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Rozaimi yang banyak berdakwah dalam bidang hadis dilaporkan sebagai berkata penolakan seseorang kepada tokoh tertentu tidak boleh dikaitkan dengan Islam sewenang-wenangnya.

Katanya pendirian seseorang kepada Islam tidak boleh disandarkan hanya kepada sokongan mereka dalam undi.

Jenuh fikirkan sebabnya

Menasihati kumpulan tertentu supaya tidak membuat kesimpulan “separuh masak” ahli akademik yang bertugas di Universiti Pendidikan Sultan Idris itu berkata, pihak terbabit sebaliknya perlu bermuhasabah sendiri.

“Jangan semudahnya digadaikan nama Islam. Jangan mudah membuat kesimpulan separuh masak siapa yang tidak undi saya maka tidak menyokong Islam, menolak Islam, mati kafir atau susah menjawab soalan kubur.

“Sebaliknya tanya dulu diri (sendiri) mengapa orang tidak mahu menyokong kita?” katanya.

Ekoran itu Rozaimi dikecam sesetengah pihak termasuk mengaitkannya dengan DAP serta AMANAH.

Menurut Rozaimi penyokong parti terbabit kelihatan melenting apabila dia menegur amalan suka ponteng serta suka mencaci-maki yang berlaku.

“Jenuh saya fikirkan cara mereka berfikir. Adakah mereka ingin katakan, sikap suka ponteng parlimen dan mesyuarat, suka caci-maki itu adalah jihad Islami yang tidak boleh dikritik?

“Atau mereka sendiri terasa pedih kerana pimpinan pujaan mereka buat sikap yang saya sebutkan di atas sehinggakan teguran umum dianggap menyerang parti mereka. Saya tidak tahu,” kata Rozaimi.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");