Sukan Hari Ini

Sah, Atlet Angkat Berat Positif Doping

KUALA LUMPUR: Kejayaan skuad angkat berat negara meraih dua pingat emas dan satu gangsa di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 tercemar apabila seorang atletnya yang beraksi pada temasya kedua terbesar dunia itu, disahkan positif bahan terlarang.

Pengesahan mengenainya dibuat Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) serta Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), hari ini.

Bagaimanapun, atlet terbabit bukan positif ketika beraksi di Sukan Komanwel, sebaliknya ketika ujian khas yang dilakukan ADAMAS di sini sebelum berlepas ke Gold Coast.

Pengarah ADAMAS, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata, atlet terbabit didapati positif bahan terlarang stanozolol – sejenis bahan terlarang daripada anabolik steroid.

“Kami menerima permohonan daripada pengurus sukan angkat berat yang meminta ADAMAS menjalankan ujian khas di luar pertandingan buat tiga atletnya yang baru pulang daripada menjalani latihan dan pertandingan di Balikpapan, Indonesia.

“Jadi, kami mempertimbangkan dan tahu sekiranya berlaku apa-apa pun mungkin keputusan sudah lewat. Namun, disebabkan sukan ini berisiko tinggi dan permohonan itu datang daripada MSN (Majlis Sukan Negara) dengan pengetahuan sukan angkat berat, kita akur dan jalankan (ujian).

“Justeru, kami setuju melakukannya pada 28 Mac dan selepas ujian atlet terbabit bertolak ke Gold Coast dan kami hanya menerima keputusan ujian itu pada 6 April,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai PABM bagi memaklumkan keputusan berkenaan.

Dr Ramlan berkata, pihaknya sudah menjalankan program ujian doping dengan sebaiknya sebelum temasya kedua terbesar dunia itu bermula dan ia dilakukan secara berfasa dengan angkat berat mula menjalani ujian pada 5 Februari lalu.

Namun, pihaknya tidak dapat melakukan ujian secara menyeluruh kepada atlet angkat berat memandangkan tiga daripada atlet berkenaan berlepas menjalani latihan dan pertandingan di Balikpapan, Indonesia.

“Bagaimanapun, atlet terbabit sudah meminta ujian sampel B dilakukan dan keputusan hanya bakal diketahui dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Berdasarkan rekod, ini bukan kali pertama atlet angkat berat terbabit dalam penyalahgunaan bahan larangan, sebaliknya banyak kes berlaku yang menjadi alasan utama sukan itu dikeluarkan daripada Program Sukan Teras.

Antara atlet angkat berat yang pernah didapati positif doping sebelum ini ialah Khairul Anuar Mohamad (SUKMA Sarawak 2016), Constantine Clement (latihan di China, 2016) dan Hafifi Mansor (positif di Terbuka Australia 2017).- BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");