Jenayah

Sayu Dengar Jeritan 3 Beradik Minta Tolong

SEMPORNA: “Api merebak dengan cepat menyebabkan penduduk tidak sempat selamatkan tiga beradik itu. Kami dengar mereka menjerit minta tolong, tetapi lama-kelamaan semakin perlahan sebelum suara mereka lenyap,” kata saksi kejadian kebakaran itu yang mahu dikenali sebagai Ari.

Ari, 28, adalah antara penduduk yang berusaha membantu menyelamatkan tiga beradik terperangkap dalam kebakaran di kediaman mereka di rumah kongsi THS Collecting Centre, Kilometer 20 Jalan Semporna di Kampung Pegagau, di sini, malam tadi lapor Berita Harian.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, tiga beradik terbabit iaitu pasangan kembar lelaki dan perempuan, Harmasius Roman @ Abdullah dan Fonsalina, masing-masing berusia lima tahun serta adik lelaki mereka, Amsalinus, 4, ditemui rentung dalam sebuah bilik tidur.

Ari berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya sebelum ternampak api bermula di ruang tamu hadapan rumah mangsa dan kemudian merebak ke bahagian bilik serta dapur.

“Saya dengar jeritan mereka meminta tolong. Orang ramai juga cuba selamatkan tiga beradik itu, namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana api semakin marak. Jeritan suara kemudian lenyap perlahan-lahan,” katanya.

AHLI keluarga tiga mangsa rentung berkumpul di kediaman ahli keluarga di Kampung Menteritip, Semporna. – Foto Abdul Rahemang Taiming
Ari berkata, tidak lama selepas itu, ibu mangsa tiba di rumah dan cuba meredah api demi menyelamatkan tiga anaknya, namun dihalang penduduk kampung.

“Ibu mangsa beberapa kali pengsan dan meraung memanggil nama anak-anaknya, namun tiada jawapan. Haiwan peliharaan keluarga itu termasuk beberapa ekor ayam kampung dan kucing turut rentung,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Donjuan Inaman, 50, terkejut dengan kejadian yang meragut nyawa tiga anak saudaranya itu sekelip mata, namun reda dengan apa yang berlaku.

“Kali terakhir berjumpa anak saudara kembar itu ketika saya mengambil mereka pulang dari Tadika KEMAS Kampung Mentertip, Khamis lalu.

“Mereka sangat rapat dengan saya dan suka bergurau. Ini kerana memang menjadi kebiasaan bagi saya menghantar dan mengambil mereka pulang dari tadika,” katanya.

Jenazah tiga beradik itu akan dikebumikan di kawasan perkuburan di Kampung Menteritip, sebaik proses bedah siasat selesai dijalankan.

Guru Tadika KEMAS Kampung Mentertip, Rozaida Karani, 24, pula berkata walaupun pasangan kembar itu agak pendiam dalam kelas, namun mereka kanak-kanak yang aktif.

“Kedua-duanya juga cepat belajar dan sudah kenal nombor serta huruf. Kejadian ini amat mengejutkan dan kami sangat bersedih,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");