Sukan Hari Ini

Sukan Komanwel: Pandelela-Jun Hoong Raih Emas Ketiga Negara

GOLD COAST: Gandingan penerjun wanita negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong menghadiahkan pingat emas ketiga kontinjen negara apabila memenangi acara 10m platform seirama pada Sukan Komanwel 2018, Rabu.

Gandingan penerjun elit kebangsaan itu mengumpul 328.08 mata untuk menrangkul pingat emas manakala satu lagi pasangan negara Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri meraih gangsa kedua mereka dengan mengutip 308.16 mata.

Pingat perak disandang oleh gandingan Kanada, Meaghan Benfeito-Caeli McKay dengan 312.12 mata.

Pandelela dan Jun Hoong menampilkan aksi yang lebih baik mulai terjunan ketiga selepas hanya mampu mencatatkan 52.80 mata pada aksi pembukaan diikuti 53.40 mata pada terjunan kedua lapor Bernama.

Pada terjunan ketiga, gandingan negara itu mula memperagakan teknik yang lebih kemas dan konsisten dengan mengumpul 70.20 mata diikuti 76.80 sebelum melengkapkan terjunan kelima dan terakhir dengan pungutan 74.88 mata.

Mun Yee-Nur Dhabitah pula mengutip 49.80 mata pada terjunan pertama diikuti 46.80, 66.60, 70.08 dan 74.88 mata pada terjunan terakhir.

Pada saingan sebelah pagi di Pusat Akuatik Optus, Mun Yee-Nur Dhabitah terlepas peluang baik untuk merangkul emas acara 3 meter papan anjal seirama apabila kesilapan Nur Dhabitah pada terjunan kelima dan terakhir menyebabkan gandingan itu merangkul gangsa.

Sebelum aksi terakhir, gandingan negara berada dalam kedudukan baik untuk merebut pingat emas tetapi kesilapan Nur Dhabitah melakukan lonjakkan baik menyebabkan gandingan itu memungut 42.30 mata, sekali gus jatuh ke tempat ketiga dengan mata keseluruhan 264.90 mata.

Acara itu dimenangi gandingan tuan rumah, Esther Qin dan Georgia Sheehan yang mengutip 284.10 mata manakala pingat perak menjadi milik gandingan England, Alicia Blagg dan Katherine Torrance dengan 276.90 mata.

Sementara itu, Pandelela mencipta sejarah tersendiri apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam acara 10m platform di temasya Sukan Komanwel di sini selepas meraih gangsa ketika berganding dengan Nur Dhabitah pada edisi lepas di Glasgow, Scotland, pada 2014.

“Kami gembira dengan keseragaman terjunan hari ini? sebab semasa latihan sebelum acara bermula, gaya kami tidak menjadi tetapi sebaliknya semua berjalan lancar dan konsisten ketika pertandingan.

“Syukur juga keadaan cuaca tidak begitu berangin. Ketika pertandingan tadi, kita hanya yakin dapat emas selepas semua peserta selesai membuat terjunan terakhir,” kata Pandelela yang bersama Jun Hoong merangkul pingat perak dalam acara itu pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Jun Hoong, yang juga juara dunia acara 10m platform individu, gembira dengan pingat emas yang juga pingat pertamanya di temasya Sukan Komanwel.

Pada Khamis Jun Hoong, Pandelela dan penerjun pelapis negara, Kimberly Bong akan bersaing dalam acara individu 10m platform.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");