Berita Hari Ini

Tiada Kes Malaria Manusia Jangkitan Tempatan Dilaporkan Di Malaysia Setakat 14 April – KKM

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mencatatkan sebarang kes malaria manusia jangkitan tempatan sehingga 14 April tahun ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pencapaian itu sejajar dengan komitmen Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menjadikan Malaysia sifar kes malaria jangkitan tempatan pada 2020.

Katanya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah mengenal pasti Malaysia antara tiga negara (bersama Korea dan China) untuk mencapai status bebas Malaria menjelang 2020.

“KKM akan meneruskan komitmen bagi menjadikan Malaysia sifar kes malaria jangkitan tempatan pada 2020 dengan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan bersama agensi seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan sebagainya bagi melaksanakan tindakan pencegahan terhadap kemasukan semula jangkitan malaria,” katanya lapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini sempena Hari Malaria Sedunia 2018 yang bertemakan ‘Bersedia Tumpaskan Malaria’.

Dr Noor Hisham berkata antara inisiatif yang dilaksanakan bagi mencapai malaria sifar ialah Pelan Strategik Eliminasi Malaria Kebangsaan (PSEMK) yang dilancarkan pada 2011.

“Selepas tujuh tahun perlaksanaan PSEMK, bilangan kes Malaria manusia jangkitan tempatan di Malaysia berjaya diturunkan sebanyak 98.4 peratus daripada 5,194 kes pada 2010 kepada 85 kes pada tahun 2017,” katanya.

Beliau berkata masyarakat juga mempunyai peranan penting dalam hal ini dan menyarankan mereka agar mengambil tiga langkah pencegahan bersama.

Langkah pencegahan itu ialah menggunakan kelambu berubat dan memakai ‘repellent’ (penghalau nyamuk) bagi penduduk yang tinggal di kawasan berpotensi jangkitan Malaria termasuk kawasan sempadan Indonesia dan Thailand.

Pemilik ladang pula disarankan tidak mengupah pekerja asing tanpa dokumen yang sah dan bagi mereka yang selalu masuk ke hutan untuk bekerja, menjalankan aktiviti rekreasi atau memburu, perlu menggunakan repellent dan memakai pakaian berlengan panjang, katanya.

Hari Malaria Sedunia merupakan antara lapan sambutan hari Kesihatan Awam Global yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang disambut pada 25 April setiap tahun bagi mengiktiraf usaha-usaha global dalam mengawal penyakit itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");