Berita Hari Ini

Tiada Unsur Sabotaj Pesawat Dinaiki Dr Mahathir – CAAM

KUALA LUMPUR: Tiada unsur sabotaj terhadap pesawat yang membawa Tun Dr Mahathir Mohamad ke Langkawi semalam, sebaliknya ia berpunca daripada masalah teknikal kecil dan rutin, iaitu kebocoran udara dari tayar sebelah kiri pesawat berkenaan.

Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, berkata tuduhan liar berlaku sabotaj terhadap pesawat berkenaan sangat serius dan boleh memberi kesan kepada reputasi industri penerbangan Malaysia serta menjejaskan nama baik negara secara keseluruhannya.

“Dalam tempoh pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi, isu sabotaj terhadap penerbangan amat sensitif dan secara moralnya tidak wajar membuat tuduhan liar dan palsu demi kepentingan politik,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir yang juga calon gabungan pembangkang menggunakan lambang PKR, mendakwa pesawat yang sepatutnya membawa beliau ke Langkawi untuk menghadiri majlis minum petang bersama komuniti Cina dan India di pulau berkenaan disabotaj oleh pihak tertentu.

Azharuddin berkata, pesawat Bombardier Challenger CL60 yang berdaftar di bawah Malta 9H-VFD dan dikendalikan oleh Vista Jet Limited, dilaporkan tidak dapat berlepas dari Subang ke Langkawi dan selepas dimaklumkan mengenai masalah berkenaan, pihaknya melakukan siasatan terperinci.

Katanya, siasatan meliputi pengesahan dokumentasi pesawat, pemeriksaan fizikal pesawat dan wawancara dengan juruterbang serta kakitangan penyelenggaraan pesawat swasta yang disewa Dr Mahathir.

“CAAM juga dimaklumkan oleh kakitangan penyelenggaraan yang mereka dapati tekanan dan roda hadapan sebelah kiri menjadi rendah. Mereka kemudian menyelenggara tayar dan melakukan pemantauan tekanan tayar serta mendapati tekanan tayar adalah rendah.

“Kami juga juga melakukan pemeriksaan tayar roda hadapan kiri, yang dipadankan dan disahkan laporan kakitangan penyelenggaraan pesawat adalah benar,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");