Jenayah

Tujuh Tentera Myanmar Bunuh 10 Lelaki Rohingya, Dipenjara 10 Tahun

YANGON : Tujuh anggota tentera Myanmar dijatuhkan hukuman penjara sehingga 10 tahun selepas didapati bersalah mengambil bahagian dalam pembunuhan 10 lelaki etnik Rohingya yang beragama Islam.

Perkara itu diumumkan oleh ketua tentera dalam satu status di media sosial Facebook, lewat malam tadi.

Pembunuhan di perkampungan Inn Din pada 2 September lalu itu adalah satu-satunya kekejaman ke atas etnik Rohingya yang diperakui benar oleh junta tentera ketika melakukan operasi di utara wilayah Rakhine bermula Ogos tahun lalu.

Ia cuba dibongkar dua wartawan Reuters berpangkalan di Myanmar, Wa Lone, 31 dan Kyaw Soe Oo, 27 tetapi kedua-duanya kini berada dalam tahanan kerana didakwa menyiarkan dokumen sulit yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 14 tahun jika sabit kesalahan.

Sebulan selepas penahanan kedua wartawan berkenaan, pihak tentera menyiarkan kenyataan mengakui kekejaman itu, iaitu satu perkara yang jarang dilakukan dan turut berikrar akan mengambil tindakan ke atas individu bertanggungjawab.

“Empat pegawai telah disingkirkan dari tentera dan dihukum penjara selama 10 tahun dengan tugas berat. Tiga lagi anggota tentera turut disingkirkan dan juga dipenjara untuk tempoh yang sama serta diperintah melakukan tugas berat,” kata kenyataan di Facebook itu, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Tribunal berkenaan diadakan secara tertutup sekali gus mengenepikan desakan antarabangsa yang meminta ia diadakan secara bebas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");