Isu Panas

UMNO Pecat 16 Ahli

PUTRAJAYA: Seramai 16 ahli UMNO dari lima negeri yang memfailkan semakan kehakiman bagi membubarkan parti itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam dipecat berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata keputusan itu dibuat mengikut Fasal 20.7 perlembagaan UMNO iaitu mana-mana ahli yang memfailkan permohonan atau tindakan ke mahkamah akan hilang keahlian secara automatik.

“Pemecatan turut dibuat mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan yang tidak membenarkan apa juga perkara parti sama ada hal ehwal pengurusan, kewangan dan yang berkaitan dengan pentadbiran parti dibawa ke mahkamah.

“Kita tahu ada dalang terbabit dalam perkara ini. Bagaimanapun, kita sudah bersedia untuk apa jua kemungkinan.

“Dalang di sebalik perkara ini adalah orang luar (pembangkang). Mereka tahu mereka lemah dan akan kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebab itu mereka guna pelbagai cara untuk menidakkan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, keluarkan watikah calon.

“Saya ingin memaklumkan tiada masalah bagi Pengerusi BN untuk menandatangani watikah untuk calon,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Tempat Letak Kereta Bertingkat, Fasa 4B, Presint 8, di sini pagi ini.

Katanya, setiap ahli UMNO perlu tahu mereka tidak boleh membawa masalah hal ehwal parti ke mahkamah.

Sebagai Setiausaha Agung UMNO dan BN, Tengku Adnan berkata pihaknya bertindak mengikut peraturan dan meminta penangguhan pemilihan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan agensi itu sudah memberi kelulusan mengenainya.

“Kalau ROS tak beri (kelulusan), kita terpaksa lakukanlah (pemilihan),” katanya.

Semalam, 16 ahli UMNO memfailkan semakan kehakiman bagi memohon parti itu dibubarkan atas dakwaan gagal mengadakan pemilihan sejak 2013.

Dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan tiga minggu menjelang pilihan raya umum ke-14, kumpulan itu mendakwa kelulusan ROS untuk UMNO menangguhkan pemilihannya ke tahun depan melanggar perlembagaan parti itu.

Pada 5 Mac lalu, ROS dalam kenyataan mengesahkan permohonan UMNO menangguhkan pemilihan peringkat Majlis Tertinggi untuk 2017 diluluskan.

ROS memaklumkan, kelulusan itu selaras peruntukan perlembagaan pertubuhan Fasal 10.17 yang memperuntukkan penangguhan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, bahagian dan cawangan, tidak boleh melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan sepatutnya diadakan.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");