Isu Panas

Undi Hari Biasa: Pembangkang Saja Timbulkan Isu

JITRA – Penetapan hari mengundi PRU14 pada Rabu bukanlah sesuatu yang luar biasa dan boleh mencetuskan permasalahan kerana ia pernah berlaku sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, mengundi pada hari bekerja bukanlah perkara baharu, sebaliknya Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri pernah beberapa kali mengadakan pilihan raya pada hari bekerja.

Katanya, isu berkaitan tarikh pengundian sengaja diperbesarkan pembangkang untuk menimbulkan kemarahan rakyat.

“Mahathir pun pernah lakukan ketika menjadi Perdana Menteri, hari mengundi pada Khamis (1982), Selasa (1995), Isnin (1999) dan selebihnya Sabtu atau Ahad. Ketika itu tidak pula beliau bantah kerana percaya dengan pengendalian SPR,” katanya selepas merasmikan program Muafakat Mesra Rakyat bersama Menteri Besar di Taman Bersatu, Kemunting, Jitra lapor Sinar Harian.

Menurutnya, amat dikesali apabila bergelar pembangkang, Mahathir mempersoal integriti agensi sama yang mengendalikan proses pilihan raya dalam negara.

“Sudah pasti SPR telah pertimbangkan sebaiknya sebelum ditetapkan tarikh mengundi pada hari bekerja. Apa yang dibuat kerajaan atau agensi kerajaan sering diputar belit pembangkang untuk menimbulkan persepsi negatif,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, agak sukar memenuhi kehendak setiap negeri sekiranya mahu melakukan pengundian pada hari minggu.

“Bukan semua negeri bercuti pada hari sama, contohnya Kedah bekerja pada Ahad sedangkan Selangor cuti hujung minggu. SPR pasti sudah nilai kebaikan mengadakan pada Rabu, kemungkinan untuk bantu pengundi keluar lebih ramai,” katanya.

Menurutnya, pengundi sama ada pekerja swasta mahupun penjawat awam tidak perlu bimbang kerana diberikan pelepasan oleh majikan, setelah kerajaan isytiharkan hari mengundi sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");