Membawang Hari Ini

Wany Teringin Nak Berlakon

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya menempatkan nama dalam bidang seni suara, penyanyi Menahan Rindu, Wany Hasrita, mengaku berminat untuk mencuba arena lakonan.

Malah katanya, beberapa tawaran untuk berbuat demikian sudah pun diterima, tetapi berikutan jadual seni yang terlalu padat, syarikat pengurusan kerjayanya, FMC, terpaksa menolak peluang terbabit.

“Jadual saya ketika ini memang agak padat, jadi mereka bimbang saya tidak mampu untuk memberikan komitmen jika tawaran lakonan diterima. Apatah lagi, berlakon mengambil masa yang lama.

“Bagaimanapun, baru-baru ini saya ada menjayakan sebuah sitkom bersama kumpulan Zero. Lakonan saya dalam program itu cuma lima minit,” katanya kepada BH Online hari ini.

Menurut Wany, 25, jika berpeluang, sudah tentu beliau ingin mencuba pelbagai bidang seni termasuk lakonan.

“Namun, saya juga tidak boleh bersikap tamak dengan melakukan semua perkara dalam satu masa. Pada masa sama, kena juga tengok pada keupayaan diri. Bimbang nanti, kalau tiada bakat, saya akhirnya hanya akan menyusahkan orang lain.

“Apatah lagi, hati saya ini boleh dikatakan ‘lembut’, jadi takut pula akan mudah tertekan. Kalau didengar cerita beberapa teman lain seperti Nabila Razali dan Amira Othman, ada masanya watak yang mereka lakonkan sampai terbawa-bawa sampai ke rumah,” katanya kepada BH Online.

Bercerita mengenai kerjaya muzik, Wany kini sibuk mempromosikan single duet terbaru bersama Tajul, Rindu Dalam Benci. Beliau juga baru-baru ini muncul dengan single irama Malaysia, Ewah Ewah.

“Kalau diikutkan, kami merancang untuk mengeluarkan album mini. Begitupun, selepas berbincang dengan syarikat rakaman, kami akhirnya keluarkan single terlebih dulu.

“Alhamdulillah, sehingga kini video Rindu Dalam Benci sudah menghampiri angka dua juta tontonan di You Tube. Insya-Allah, selepas ini album mini saya pula menyusul,” katanya.

Lima lagu akan dimuatkan dalam album terbabit iaitu Menahan Rindu, Rintihan Rindu, Ewah Ewah, Semaikan Cinta dan Rindu Dalam Benci.

Sementara itu, Wany juga akan melancarkan produk minuman kesihatan dan koleksi pakaiannya sendiri dalam masa terdekat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");