Perak Hari Ini

Zambry Janji Akan Terus Bangunkan Lumut

SITIAWAN: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Lumut berjanji untuk terus membawa perubahan serta merancakkan pembangunan di kawasan tersebut sekiranya diberikan mandat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Zambry juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor berkata, beliau percaya pengundinya sedar akan pembangunan yang telah dan sedang dibawa oleh kerajaan negeri.

Katanya, sebagaimana pembangunan yang dibawa kepada Perak dan Pulau Pangkor sepanjang beliau menjawat jawatan Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, sepanjang dua penggal lalu, ianya juga akan terus dilakukan di Lumut sekiranya terpilih sebagai ahli parlimennya.

“Dalam tempoh sembilan tahun ini cuba lihat apa yang sudah kita lakukan… macam mana pembangunan Manjung yang begitu pesat, malah dari segi bantuan pula bukan satu kaum sahaja yang dibantu tapi kita bantu semua kaum di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Pelajar dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Masyarakat India di Kampung Sitiawan dekat sini, pada Rabu.

Turut hadir, Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango dan Pegawai Daerah Manjung merangkap Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Pada majlis tersebut, Zambry berkesempatan beramah mesra dengan penduduk setempat dan menyampaikan bantuan kepada 28 keluarga yang memerlukan.

Menurut Zambry, jika diberikan mandat, walaupun dirinya diperlukan di peringkat nasional beliau tetap akan meneruskan khidmat di Perak.

Dalam pada itu, Zambry berkata, pemilihannya bertanding di kerusi Parlimen Lumut dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor adalah keputusan yang dibuat pucuk kepimpinan BN yang mana dirinya akan menggalas tanggungjawab tersebut dengan baik selain turut mengharapkan sokongan penuh daripada masyarakat India.

Pada PRU13, di Parlimen Lumut, calon PKR, Mohamad Imran Abd. Hamid telah menewaskan calon BN yang diwakili Tan Sri Kong Cho Ha dengan majoriti undi sebanyak 8,168.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");