Berita Hari Ini

18 inisiatif majukan Langkawi

LANGKAWI: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 18 inisiatif yang akan dilaksanakan kerajaan khusus untuk Langkawi dalam tempoh lima tahun akan datang, sekali gus membantu melonjak potensi sektor pelancongan pulau ini.

Perdana Menteri berkata, inisiatif berkenaan membuktikan komitmen kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) untuk menzahirkan perkembangan Langkawi sebagai destinasi pelancongan tersohor.

Mengambil kira unjuran tahun 2030 yang akan menyaksikan industri pelancongan muncul sebagai sektor perdagangan terbesar dunia, beliau berkata langkah terlebih awal perlu diambil supaya sebahagian daripada segmen industri pelancongan yang akan berkembang dengan begitu pesat dapat dikuasai.

“Melalui usaha ini kesannya akan mengalir sehingga dirasai ekosistem pelancongan kita secara menyeluruh membabitkan bukan sahaja pengusaha hotel, tetapi sehingga kepada mereka yang berniaga di bazar, IKS (industri kecil dan sederhana), pengusaha inap desa (homestay), pemandu teksi, pemandu pelancong dan lain-lain lagi.

“Semua ini akhirnya kita nak pastikan bahawa rakyat biasa di Langkawi akan dapat rahmat dan manfaat daripada pembangunan industri pelancongan, kerana kita nak setiap rakyat Langkawi berada di tahap pendapatan yang jauh lebih tinggi.

“Kita juga nak rakyat dan penduduk Langkawi kecapi gaya hidup yang jauh lebih hebat pada masa depan kerana sekiranya industri pelancongan maju, bukan sahaja perniagaan, tetapi infrastruktur dan gaya hidup serta peluang rekreasi dan lain-lain lagi sudah tentu akan jadi lebih baik,” katanya berucap sempena program Malam Santai Industri Pelancongan Langkawi di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, malam tadi.

Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion untuk Langkawi pada tahun mendatang termasuk untuk menyelesaikan masalah bekalan air, pembesaran Hospital Langkawi dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) yang bakal menerima lebih banyak penerbangan terus dari luar negara.

Industri pelancongan Langkawi pada 2017 menjana pendapatan RM6.5 bilion, dengan penerimaan 3.67 juta pelancong.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata beliau tidak memilih pendekatan mengutuk, mencaci atau mengeluarkan kata kesat, tetapi bercakap secara berhemah dengan mengetengahkan agenda perancangan kerajaan ditunjangi BN untuk rakyat.

“Pada saya politik bukanlah harus berkisar kepada nilai moral yang rendah…kita patut berkisar kepada agenda kita untuk rakyat, agenda masa depan kita dan agenda untuk bawa transformasi mengubah masa depan.

“Siapa yang punya agenda lebih baik dan diyakini lebih mampu membawa perubahan serta transformasi, itu yang akan jadi kayu pengukur muktamad,” katanya.

INFO

18 inisiatif pembangunan lima tahun sektor pelancongan Langkawi diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak:

1. Penyediaan sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Langkawi, dilengkapi pusat sehenti untuk urusan kelulusan lesen dan permit kadar segera.

2. RM100 juta kepada SME Bank dalam bentuk pembiayaan antara RM25,000 hingga RM250,000 untuk mengusahakan chalet, motel dan kedai runcit. Kadar pinjaman lima peratus setahun dengan dua peratus disubsidi kerajaan.

3. Geran RM5,000 kepada 1,000 peniaga kecil yang akan diagihkan oleh persatuan perniagaan berdaftar, bermula 1 Jun ini.

4. TERAJU akan memperuntukkan dana dalam bentuk geran sehingga RM10,000 kepada 200 usahawan bagi membiayai perniagaan kecil-kecilan Bumiputera Langkawi.

5. Peruntukan RM12 juta untuk perkasa Akademi Pelancongan Langkawi (LTA) .

6. Sebuah hab perniagaan akan dibangunkan di Pantai Chenang mengambil model Pasar Chatuchak di Bangkok sebagai tarikan pelancong.

7. Pembinaan Langkawi Premium Outlet sebagai hab beli-belah bagi menarik pelancong.

8. Tarikan pelancong kesihatan diperkasa dengan LADA bersetuju dengan KPJ Hospital di bawah naungan JCorp untuk menubuhkan hospital swasta di Langkawi.

9. Litar motorcross akan diwujudkan bagi mempersiapkan anak muda dengan set kemahiran baharu.

10. Pelancongan berasaskan MICE (meetings, (mesyuarat), incentives (insentif), conference (persidangan) and exhibitions (pameran) sebagai segmen pelancongan yang penting.

11. Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dengan jambatan udara dijangka siap September ini. Kapasiti penumpang ditingkatkan dari 1.5 juta kepada 3 juta setahun.

12. Merangka strategi menarik syarikat penerbangan asing untuk mengadakan penerbangan terus ke Langkawi.

13. Pakej istimewa WiFi – perkhidmatan WiFi percuma mulai hari ini di tempat umum untuk hanya 10 sen sejam (percuma sehingga akhir Jun).

14. Syarikat Tencent daripada China dan Tourism Malaysia menyatakan komitmen bekerjasama menghasilkan 40 video promosi yang bakal ditonton 980 juta penduduk China dan 10 juta penonton Malaysia.

15. Tourism TV akan diwujudkan bagi mempromosi sektor pelancongan Langkawi, dengan slot dua jam eksklusif sehari diberikan kepada Langkawi.

16. Memastikan usahawan Langkawi diberi lesen perniagaan untuk bantu besarkan perniagaan dan mendapat pembiayaan disediakan pelbagai institusi kewangan dan agensi kerajaan.

17. MDEC dengan kerjasama DPMM komited melatih usahawan digital di Langkawi sehingga hujung tahun ini.

18. Pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem di bawah jaringan UNESCO Geopark terus menjadi teras utama pastikan kelestarian Langkawi sebagai pusat pelancongan persekitaran ekologi dan geologi.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");