Berita Hari Ini

1,900 JKKK Digantung Tugas Sementara Waktu – MB Kedah

ALOR SETAR: Mesyuarat pertama Exco kerajaan Kedah yang berlangsung semalam membuat keputusan untuk menggantung sementara tugas 1,900 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata keputusan itu diambil sementara menunggu arahan lanjut dan terperinci daripada kerajaan pusat berhubung perkara itu.

“Kita belum mendapat arahan secara terperinci, apa juga keputusan dibuat di peringkat persekutuan akan kita laksanakan di Kedah ini dan tujuannya adalah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa campur tangan politik.

“Kita nak elak masalah yang timbul atas sebab JKKK yang terlampau berpolitik sehinggakan ada setengah pihak di kampung yang terabai kebajikannya kerana tidak menyokong kerajaan pada ketika itu. Jadi kita ambil pendirian siapa juga layak terima bantuan wajib kita beri perhatian dan bantu tak kira kecenderungan politik,” katanya selepas menyampaikan amanat pada program Bicara Integriti hari ini.

Menurut laporan Bernama, Mukhriz berkata kebanyakan daripada anggota JKKK di Kedah merupakan ketua cawangan Umno.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan mengaturkan pertemuan dengan pegawai daerah dan penghulu mengenai kaedah terbaru untuk menyalurkan bantuan secara langsung kepada pihak yang memerlukan dan kaedah penerimaan maklumat daripada semua kawasan untuk diambil tindakan.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Majlis Profesor Negara (MPN), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dibubarkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");