Berita Hari Ini

Pecat Daim, Rafidah : MUBARAK Sokong Tindakan UMNO

KUANTAN: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) menyokong tindakan UMNO menggugurkan keahlian Tun Daim Zainuddin serta Tan Sri Rafidah Aziz.

Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, tindakan tersebut adalah tepat dan sesuai pada masanya bagi mengelakkan perbuatan mereka menjadi ‘barah’ yang merosakkan parti dari dalam.

Beliau berkata lagi kedua-dua veteran parti itu sepatutnya menyokong Barisan Nasional (BN) dan tidak membuat kritikan terbuka, terutama di pentas pembangkang.

“Jika mahu mengkritik parti, harus secara berhemah dan menggunakan saluran betul, bukan sepentas dengan pembangkang. Ini bukan budaya dalam UMNO.

“MUBARAK memang menyokong tindakan UMNO memecat mereka, terutama ketika saat genting menjelang hari mengundi.

“Kita bimbang perbuatan mereka itu akan menjadi barah dalam parti jika tidak diambil tindakan sewajarnya,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Ramah Mesra MUBARAK Pahang Bersama Ibu Tunggal Parlimen Paya Besar dan Parlimen Kuantan di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, kedua-dua calon BN bagi kerusi Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah, dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching, Datuk Mohd Zaili Besar.

Media sebelum ini melaporkan surat menggugurkan keahlian UMNO sudah diserahkan kepada Rafidah dan Daim, Sabtu lalu, susulan sokongan mereka terhadap pembangkang serta mengeluarkan kenyataan menghentam parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dipetik sebagai berkata keahlian Tan Sri Dr Rais Yatim pula masih belum digugurkan dan pada peringkat perbincangan untuk tindakan selanjutnya.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, semua ahli UMNO meliputi veteran boleh memberi teguran kepada parti tetapi perlu mengikut cara yang betul dan bukan berdiri di atas pentas pembangkang.

“Justeru, tindakan memecat dua veteran itu adalah tepat supaya perkara ini tidak merebak dalam kalangan ahli UMNO yang lain dengan mengkritik parti sendiri.

“Kita tidak mahu orang lain menggugat dasar dan landasan perjuangan parti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");