Panasnya Hari Ini

Ahmad Bashah tolak ramalan Tun Daim

ALOR SETAR – Ramalan Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin bahawa Kedah bakal jatuh ke tangan pembangkang tidak boleh dijadikan ukuran sebenar sokongan pengundi pada PRU14.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, BN Kedah yakin mampu mempertahankan kedudukan parti itu di Jelapang Padi berdasarkan rekod cemerlang pentadbiran kerajaan negeri.

Menurutnya, beberapa pendekatan dilakukan terbukti berjaya menawan hati rakyat Kedah, selain komitmen ditunjukkan kepimpinan BN yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat.

“Ramalan beliau berlandaskan kepada apa? Jika bandingkan dengan PRU12, ketika itu memanglah kita kalah, kali ini berbeza. Saya yakin Kedah dapat dipertahankan, termasuk Perak selain rampas semula Selangor,” katanya, selepas majlis perjumpaan bersama NGO Cina, di Seri Mentaloon, semalam.

Ahmad Bashah mengulas ramalan Daim berhubung PRU14, yang didakwa berpihak kepada Pakatan Harapan (Harapan) selain menjangkakan Perak dan Kedah akan jatuh ke tangan Harapan, manakala Pahang dan Melaka dalam kedudukan 50-50. Daim turut meramalkan Selangor dan Pulau Pinang terus dalam genggaman Harapan.

Daim juga yakin Tun Dr Mahathir Mohamad mampu menang di Parlimen Langkawi, selain begitu pasti Harapan dapat membentuk kerajaan di peringkat Pusat.

Ahmad Bashah turut menyifatkan ramalan Daim sebagai tidak tepat dan sekadar telahan semata-mata.

“Sebelum ini memang banyak ramalan dibuat beliau, ketika itu dia masih muda, sekarang usianya sudah lanjut, ramalan pun tak mungkin tepat. Biarlah itu ramalan dia, kita pun ada ramalan sendiri,” katanya.

Daim dikenali sebagai antara individu yang dicari untuk memberikan ramalan berhubung keputusan pilihan raya kerana kebanyakan ramalannya sangat tepat.

Ahmad Bashah juga yakin keputusan Daim menyokong Harapan pada PRU14 tidak akan mempengaruhi pengundi kerana beliau pernah ditolak ahli Umno sendiri.

“Ketika Daim menjadi Ahli Parlimen Merbok dan Ketua Bahagian Umno, akar umbi kawasan menolak kepimpinan beliau dan ada cawangan cadangkan supaya dia jadi pemeriksa kira-kira sahaja, ini menunjukkan beliau tidak mesra rakyat,” katanya.

Kajian Merdeka Centre pula mendapati, berlaku lonjakan besar sokongan India di Kedah kepada Harapan namun percubaannya untuk menarik pengundi Melayu masih perlahan. Kajian itu mendapati sokongan Melayu kepada BN telah jatuh kurang daripada separuh.

Manakala sokongan Melayu kepada Harapan Kedah meningkat sedikit namun masih kurang 10 peratus untuk membolehkan gabungan itu menawan Kedah.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah menyangkal dakwaan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bahawa pengundi Cina masih memihak kepada DAP, sebaliknya yakin komuniti Cina di Kedah akan kembali kepada BN.

“Kalau yakin Kit Siang tak akan bertanding, itu cara dia. Kita pun yakin kali ini pengundi Cina kembali kepada BN. Tengok apa yang berlaku di Pulau Pinang, bandingkan dengan apa yang BN buat, sentiasa laksana kebajikan untuk semua,” katanya.

Menurutnya, tiada mana-mana kaum dipinggirkan bawah pentadbiran BN, selain mengamalkan dasar adil kepada semua dalam aspek pendidikan, perniagaan dan perumahan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");