Perak Hari Ini

Aktiviti Lasak, Keunikan Alam Semulajadi Gopeng Pikat Hati Pengunjung

Bagi peminat aktiviti lasak dan mencabar Perak merupakan salah satu destinasi menarik dan sesuai untuk anda lawati, gunung-ganang juga sungainya yang pelbagai antara tempat terbaik untuk menguji ‘adrenaline’ anda.

Berikut antara perkongsian kisah ekspedisi menarik oleh 40 pelajar Tahun tiga Kursus Sarjana Muda Kesuhawanan (Pelancongan) dan dua orang pensyarah pengiring dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berkongsi pengalaman pengalaman mereka meneroka Gua Tempurung dan pelbagai aktiviti menarik di Gopeng di sini anjuran Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK)pada 23 hingga 25 Mac yang lalu.

Ekspedisi ini difahamkan bertujuan bagi mencapai objektif program rekreasi dan eko pelancongan yang mana memberi pendedahan kepada pelajar tentang keindahan persekitaran alam semulajadi melalui pelbagai aktiviti lasak yang akan di lakukan selain mengeratkan hubungan antara pelajar dan tenaga pengajar.

Berikut antara yang dikongsikan penulis sepanjang ekspedisi berlangsung, pelajar dan pengiring terdahulu telah menginap di Ulu Village Camp yang merupakan sebuah tapak perkhemahan yang cantik dan dikelilingi dengan alam semula jadi menghijau.

Pengalaman peserta menaiki sebuah lori menuju ke Ulu Village Camp sekitar 30 hingga ke 45 minit cukup menyeronokkan dan memberi pengalaman baru buat mereka.

“Midnight Hiking” Di Bukit Batu Putih

Ekspedisi bermula dengan aktiviti pendakian malam iaitu “Midnight Hiking” di Bukit Batu Putih dengan ketinggian mencecah 800 meter dan kecuraman bukit sehingga 60 darjah.

Pendakian tersebut dibantu 6 orang petugas keselamatan ditugaskan menjaga dan memberi panduan perjalanan disepanjang perjalanan yang agak gelap merentasi kawasan kelapa sawit pada jam 11 malam itu mengambil masa sekitar tiga jam untuk para pendaki sampai ke puncak.

Biarpun agak menyeramkan apabila perlu merentasi Sungai Jahang yang sangat deras namun kesemua peserta berjaya melaluinya dan meneruskan perjalanan mendaki bukit dengan laluan sedikit mencabar serta ditambah pula keadaan tanah bukit yang licin.Kesemua mereka tiba di puncak Bukit Batu Putih sekitar jam dua pagi.

Penat mendaki pastinya terubat apabila dapat menyaksikan keindahan pemandangan dari atas puncak Bukit Batu Putih yang cukup indah pada waktu menjelang awal pagi.

Pengalaman mendaki dan menikmati keindahan panorama flora dan fauna pada waktu malam apabila apabila berada di atas puncak Bukit Batu Putih pastinya memberi satu pengalaman berbeza kepada para peserta.

Ekspedisi hari kedua

Ekspedisi masuk hari kedua diteruskan dengan aktiviti “Caving” di Gua Tempurung.

Anda dinasihatkan untuk memakai pakaian dan kasut yang sesuai aktiviti ini akan melibatkan air dan pakaian anda pastinya basah.

Perjalanan ke Gua Tempurung mengambil masa sekitar satu jam dan sudah cukup terkenal buat peminat “Hiking” terutama di dalam gua.

Keindahan pemandangan Gua Tempurung ini masih cantik dan dijaga dengan rapi oleh pihak Kerajaan Negeri Perak agar warisan sejarah ini dapat di kekalkan sehingga akhir hayat.

Sebahagian gua ini telah dibangunkan sebagai gua pameran dengan pencahayaan elektrik yang terang serta laluan pejalan kaki dan terdapat pelbagai lawatan atau “Tour” yang berbeza.

Setiap “Tour” ini mempunyai pelbagai jenis laluan dan megikut pada kategori harga yang ditawarkan.

Anda akan dapat saksikan beberapa stalaktif dan stalagmite yang hebat dan cantik dengan siling yang menyerupai seperti tempurung kelapa serta pembentukan kalsium yang berbeza dan marmar terdapat di dalam suhu dan paras air yang berbeza.

Para peserta bagaimanapun memilih untuk mengikuti “Tour 4:Grand Tour” yang mana perjalanan lengkap adalah sejauh 3.8 kilometer yang mengambil masa dalam 3 jam 30 minit bermula daripada pintu masuk utama hingga ke “Golden Flowstone”, seterusnya “Top of the World” dan berakhir melalui anak sungai dibawah gua.

Ekspedisi yang bermula pada jam 11 pagi itu dibantu oleh dua orang “Cave Renjer” yang penuh berpengalaman dan para peserta juga dikehendaki untuk membawa “Headlamp”.

Para peserta mengakui terpegun dengan keindahan di dalam Gua Tempurung yang mempunyai pelbagai bentuk corak haiwan serta objek yang terbentuk secara semulajadi di dinding-dinding gua.

Perjalanan mereka juga difahamkan memerlukan stamina fizikal dan mental yang tinggi kerana perlu menaiki dan menuruni anak tangga yang tinggi, menyeberangi beberapa sungai bawah tanah yang memerlukan kepakaran berenang,merangkak melalui lubang, memanjat dinding yang hampir menegak serta meluncur satu cerun bukit batu-batu yang agak licin berketinggian 9 meter dan hanya mempunyai lubang agak kecil untuk melepasinya.

Pengalaman “water Tubing”

Selepas aktiviti “Caving” di Gua Tempurung, ekspedisi diteruskan pula dengan aktiviti “Water Tubing” pada sebelah petang.

Aktiviti ini mengambil masa sekitar dua jam yang memerlukan setiap peserta untuk memakai jaket keselamatan, topi keselamatan dan tiub pelampung bergantung pada saiz badan.

Sebelum memulakan aktiviti ini, para peserta telah diberikan taklimat keselamatan oleh renjer dan mempelajari teknik berenang yang betul supaya dapat menyeimbangkan badan dan mengawal diri daripada cepat panik jika lemas atau terjatuh daripada tiub.

Para peserta dilepaskan seorang demi seorang untuk mempelajari “Water Confident” dan mengawal pergerakan badan mengikut arus aliran sungai yang agak deras.

Taklimat ringkas turut diberikan mengenai cara mengawal tiub dan mengelakkan daripada terkena atau terlanggar batu-batu yang licin dan besar. Anda juga dinasihati untuk lebih berhati-hati apabila melakukan aktiviti ini kerana aktiviti ini dilepaskan seorang demi seorang menyusuri sungai yang deras sekitar 10 kilometer dan mempunyai 14 jeram.

Pengawalan tiub bergantung kepada seseorang individu itu sendiri mengikuti arus aliran sungai dan kegagalan untuk megawal tiub dengan baik akan menyebabkan anda boleh terkeluar daripada tiub dan lemas.

Bagaimanapun anda tidak perlu khuatir aktiviti ini dipantau dan dikawal oleh pihak terlatih jadi arahan yang diberikan perlu diikuti sebaik mungkin.

Turut menarik adalah aktiviti berkumpulan yang mana para peserta dibahagikan kepada 6 hingga ke 7 orang dalam satu kumpulan. Aktiviti ini memerlukan kerjasama kumpulan untuk sama-sama mengawal tiub menyusuri arus aliran sungai dan setiap kumpulan akan di kawal oleh seorang renjer yang berpengalaman.

Buat penggemar aktiviti sukan lasak, anda boleh cuba kesemua aktiviti lasak ini hanya di Gopeng Perak dan para peserta turut berkongsi harapan
agar pusat rekreasi dan eko pelancongan ini dapat di kekalkan untuk generasi akan datang serta berupaya menarik lebih ramai pelancong mahupun penduduk tempatan menerokainya selain meningkatkan industri pelancongan di negara kita Malaysia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");