BATU KURAU:Calon Parlimen Barisan Nasional (BN) Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin menepis dakwaan Timbalan Presiden Parti PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kononnya dia tidak balik ke kawasan Larut.
Hamzah berkata, Azmin Ali dalam ceramah PKR di Batu Kurau semalam, mengatakan jika beliau (Hamzah) menang Pilihan Raya Umum (PRU14) beliau tidak akan pulang ke Larut.
“Saya jelaskan disini, Azmin Ali..seluruh rakyat di Parlimen Larut tahu setiap minggu saya pulang ke kampung bersama dengan rakyat.
“Bercerita itu ini..mungkin calon mereka tak balik, jadi janganlah calon mereka tak balik kata saya pulak yang tak balik. Saya tiap-tiap minggu balik.Inilah perangai pembangkang yang sentiasa nak ubah cerita yang bukan-bukan kemudian kata macam-macam konon mereka yang hebat sekali.,”katanya.
Hamzah berkata, masalah air di negeri Selangor sendiri tidak dapat diselesaikan demi kesejahteraan rakyat.
“Selain itu, isu tanah di Ijok Selangor pun tak dapat diselesaikan. Apa yang saya jelaskan. Mereka ini tiada langsung agenda untuk membantu rakyat. Agenda mereka hanya untuk bantu kroni-kroni mereka sahaja,”katanya selepas penyampaian Majlis penyerahan bantuan geran penjaja peniaga kecil di Parlimen Larut, di sini hari ini.
Hamzah yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkata demikian dalam majlis tersebut (KPDNKK) telah memberi bantuan kepada 1500 penerima peniaga kecil di seluruh Parlimen Larut.
“Setiap golongan akan menerima geran berjumlah RM500 secara sekali bayar sebagai usaha pihak kerajaan dalam membantu mereka memajukan perniagaan.
“Peniaga boleh menggunakan wang itu untuk membeli peralatan yang digunakan untuk berniaga, sekali gus membantu mereka memajukan perniagaan dan menambah lagi pendapatan,” katanya.