Jenayah

Bekas Gitaris Ekamatra Dipenjara 10 Tahun

ALOR SETAR: Bekas gitaris kumpulan rock 90-an Ekamatra, dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan menyebabkan kematian seorang wanita warga emas ketika memecah masuk ke rumah mangsa, Februari lalu.

Hakim Juraidah Abbas menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Md Nurul Azman Salilholdin@Salilhaldin, 44, mengaku salah atas pertuduhan terbabit.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Kau Fu Eng, 71, antara jam 2 petang hingga 6 petang, 25 Februari lalu di sebuah rumah di Taman Malaysia, Alor Setar.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Rehab meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal ke atas tertuduh kerana mengambil kira kepentingan awam.

Menurutnya, kesalahan dilakukan tertuduh sangat berat dan serius serta bukan sahaja kesalahan melanggar batas undang-undang, malah tidak berperikemanusiaan kepada mangsa dan keluarganya.

“Hukuman yang diberikan ini tidak dapat menggantikan kehilangan satu nyawa, namun saya pohon mahkamah memberi isyarat jelas kepada masyarakat bahawa kesalahan ini serius, di mana dalam kes ini kepentingan awam perlu diambil berat berbanding individu,” katanya lapor Berita Harian.

Sementara itu, dalam rayuannya, Md Nurul Azman meminta mahkamah menetapkan tarikh hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditahan selain turut menyatakan rasa kesal dan insaf atas perbuatannya itu.

“Saya juga meminta menjalani hukuman di Penjara Kajang bagi memudahkan keluarga melawat kerana saya berasal dari Johor dan ahli keluarga menetap di Kuala Lumpur,” katanya.

Juraidah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dari tarikh tertuduh ditangkap selepas berpuas hati dengan hujahan daripada pihak pendakwaan selain pengakuan bersalah tertuduh itu sendiri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");