Berita Hari Ini

Beri Peluang Ku Li Baiki UMNO

KUALA LUMPUR – Tiba-tiba sahaja nama Tengku Razaleigh Hamzah menjadi bualan dalam kalangan ahli UMNO di peringkat akar umbi.

Rata-rata mereka mahu Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu diberi peluang untuk mengepalai parti, selepas presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan pada 12 Mei lalu.

Secara logiknya, Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li, antara pemimpin veteran yang paling layak untuk membawa semula UMNO ke landasan yang betul, walaupun keadaan parti agak parah selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu lalu.

Beliau tidak asing dalam UMNO, malah boleh dikatakan antara yang memainkan peranan penting bersama bekas Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman dalam memperkasakan parti.

Ku Li menyertai UMNO pada tahun 1962 ketika parti itu berusia 16 tahun dari penubuhannya 1946 dan pernah menjawat jawatan Naib Presiden serta Bendahari UMNO tahun 1970-an.

Ahli Parlimen Gua Musang ini pernah mencabar Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi perebutan jawatan presiden UMNO pada tahun 1987, tetapi beliau kalah tipis, dan sejak itu Ku Li dilihat tidak lagi terlibat secara aktif dalam parti.

Kini, menjelang pemilihan UMNO, yang dijadualkan 19 Mei ini, sudah ada suara-suara dari ahli mahu anak raja itu kembali aktif dan mengambil tanggungjawab berat untuk memulihkan semula UMNO.

Mereka sudah mula bersuara dan ada yang menyatakan kesediaan untuk melakukan perubahan serta pembaharuan dalam penyusunan semula kepimpinan.

Beberapa nama turut dicadangkan bagi membantu Ku Li. Mereka ialah Datuk Seri Mohamad Hassan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin.

Pengalaman pemimpin veteran itu tidak boleh dipandang lekeh atau diejek sebagai ‘sudah tua’, maka beliau tidak mampu untuk memulihkan UMNO.

Setakat ini belum ada pemimpin muda yang layak diberi kepercayaan untuk menerajui parti, melainkan ia memerlukan kepakaran dari veteran dan banyak pengalaman seperti Ku Li.

Beliau tidak tua berbanding Tun Dr Mahathir yang boleh mengalahkan ‘kepimpinan muda’ dalam UMNO melalui keputusan PRU14 Rabu lalu.

Tetapi, perlu ingat, hanya Ku Li yang tahu buah fikir Tun Dr Mahathir dalam percaturan politiknya, kerana kedua-duanya membesar dan dewasa bersama-sama dalam UMNO.

Sewajarnya, pada mesyuarat cawangan Sabtu ini, semua cawangan mengemukakan usul mencadangkan Ku Li sebagai Presiden UMNO. Tidak salah memberi peluang kepadanya untuk membaiki semula struktur UMNO yang sudah rosak teruk ini. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");