Berita Hari Ini

Buatlah pilihan tepat untuk Malaysia hebat esok: Najib

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa rakyat Malaysia melihat ‘negara sebenar’ yang dibina atas perkongsian BN dan rakyat dan meletakkan amanah mereka sekali lagi kepada gabungan itu.

Dalam perutusannya berjudul ‘The Right Choice to Make Great’ (Pilihan Tepat Untuk Malaysia Yang Hebat) yang disiarkan diblognya, NajibRazak.com menjelang Pilihan Raya Umum, esok, Perdana Menteri berkata BN tidak pernah menghadapi pilihan raya yang dicemari taktik kotor secara terbuka diguna pakai tanpa rasa malu oleh pembangkang.

“Bayangkan negara di tangan mereka; sekumpulan orang yang telah menghabiskan seluruh hidup mereka dengan menyerang dan membenci antara satu sama lain…yang masih belum bersepakat mengenai asas-asas dalam dasar serta satu-satu alasan untuk bersatu untuk berkuasa demi kepentingan diri masing-masing.

”Jadi saya meminta anda semua untuk tidak mengambil risiko itu, sebaliknya mengenang pencapaian kita bersama selama ini serta tahap pencapaian yang lebih gemilang pada masa akan datang.

“Saya berjanji bahawa jika anda meletakkan kepercayaan kepada Barisan Nasional sekali lagi, kami akan meneruskan usaha memberi perkhidmatan kepada rakyat dan secara bersama akan terus membina negara ini. Marilah kita bersatu untuk Malaysia yang lebih hebat,” katanya.

Najib juga turut melahirkan rasa sedih bahawa pilihan raya ini disaingi dalam keadaan malang dengan dakwaan palsu pembangkang kononnya Malaysia menggadai kedaulatan negara kepada China.

“Misalnya, kini mereka mengancam untuk membatalkan projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL). Jika mereka membatalkan projek yang mewujudkan 86,000 peluang pekerjaan maka apa yang akan berlaku kepada generasi muda di negeri-negeri itu,” katanya.

Perdana Menteri berkata ECRL adalah contoh pelaburan utama yang kerajaan berusaha keras untuk mendapatnya dan sekiranya kita memutus untuk membatalkanya, maka China akan berhenti membeli minyak sawit daripada kita, sekali gus menjejaskan pekebun kecil Felda.

Beliau juga berkata pembangkang turut memutarbelitkan kejayaan yang dicapai secara bersama oleh rakyat Malaysia di bawah BN dan membohongi rakyat mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), wang yang disalurkan terus kepada rakyat Malaysia menerusi program-program yang disasarkan dengan teliti dan kepada mereka yang paling memerlukan.

Menurutnya, ia lebih baik daripada menyediakan subsidi yang memanfaatkan jutawan segera yang mempersendakan penerima wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Malaysia yang mereka gambarkan adalah realiti alternatif kepada negara yang berwibawa, harmoni yang mana kerajaan ini serta rakyat yang bekerja keras untuk membinanya.

“Ini adalah Malaysia yang diiktiraf oleh Bank Dunia dan institusi antarabangsa lain dalam laporan mereka.

“Ini Malaysia yang menyaksikan delegasi kerajaan menerima sambutan tertinggi dari Washington dan London ke Beijing, New Delhi dan Riyadh. Inilah Malaysia yang menjadikan Penjaga Dua Kota Suci memilih negara ini untuk menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman. Hakikatnya, kedudukan Malaysia di dunia tidak pernah lebih tinggi seperti sebelum ini. Tetapi anda tidak akan mendengar apa-apa mengenainya daripada pembangkang,” katanya.

Najib juga merujuk nasihat perdana menteri sebelumnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, kepada rakyat bahawa adalah tidak bijak untuk memilih pemimpin yang ‘tidur sebantal tapi mimpi lain-lain’.

“Pak Lah (Abdullah) berkata bahawa orang dengan ideologi berbeza dan bertentangan jika bergabung hanya untuk merebut kuasa adalah tidak baik untuk negara.

“Ini kisah sebenarnya dengan pembangkang…hampir tidak boleh berhenti menikam di belakang walaupun sebelum pilihan raya dan pernah menikam di belakang ketika memenangi kuasa di peringkat negeri sebelum ini,” kata Najib.

Beliau turut mempersoalkan sama ada DAP akan membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad berusia 92 tahun untuk menjadi perdana menteri sekali lagi dan mengambil risiko memberi kuasa kepada orang yang memenjarakan ramai daripada mereka semasa pentadbirannya.

“Jangan terpedaya sama ada dengan linangan air mata dan dakwaan sabotaj mahupun pembunuhan. Mengelar diri sebagai bekas diktator, beliau tidak akan berubah. Beliau memohon maaf secara ikhlas tanpa apa-apa. Pada hakikatnya, beliau cuba memperalatkan bekas rakan-rakan sekutunya sama seperti mereka cuba memperalatkannya.

“Kemunafikan mereka amat menakjubkan,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");